Sukan Asia: Pelan B hadapi cuaca buruk di Jepun

KONTINJEN Malaysia ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 enggan mengambil risiko susulan cuaca buruk dan banjir yang melanda beberapa kawasan di Jepun dengan pelan alternatif sudah disediakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Mohamad Azlan Iskandar berkata, sekretariat kontinjen mengambil kira pelbagai aspek bagi memastikan kelancaran perjalanan atlet dan pegawai sekiranya keadaan bertambah buruk.
“Pihak sekretariat sudah menyediakan pelan B sekiranya berlaku sebarang kemungkinan yang tidak dijangka. Jadi, dalam situasi paling buruk sekalipun, kita memang sudah mempunyai pelan B.
“Untuk mengatakan ada pelan berasingan, ya, pelan B memang sudah tersedia,” katanya ketika ditemui selepas lawatan ke sesi latihan skuad wushu dan kabaddi negara di Kuala Lumpur pada Khamis.
Menurut Azlan, soal penginapan turut diberikan perhatian memandangkan kemungkinan berlaku kekurangan tempat sekiranya keadaan di lokasi ditetapkan tidak mengizinkan.
“Pelan B itu, saya fikir penginapan adalah salah satu perkara yang diambil kira. Sekiranya tidak mencukupi penginapan di sana, kita sudah ada pelan B untuk menghadapi situasi berkenaan.
“Memang ada beberapa pelan yang sudah disediakan dan itu sesuatu yang bagus. Sekretariat memang sudah bersedia dan mengambil kira perkara-perkara seperti ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, seorang lagi Timbalan Ketua Kontinjen, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi berkata, pasukan pemantau sudah berada di Nagoya bagi menilai keadaan sebenar serta mendapatkan maklumat terkini dari lapangan.
“Memang kita tahu ketika ini Nagoya sedang berdepan situasi banjir. Bagaimanapun, kita sudah mempunyai pasukan yang berada di sana sejak semalam untuk melihat keadaan dan perkembangan terkini.
“Kami tidak boleh mengulas terlalu banyak mengenai situasi di sana, tetapi berdasarkan maklumat yang kami terima, keadaan masih terkawal dan semakin bertambah baik,” katanya.
Tambah beliau, sekretariat akan terus memantau perkembangan cuaca bagi memastikan persiapan dan pergerakan kontinjen negara tidak terjejas menjelang temasya berkenaan.
“Kami akan cuba melakukan yang terbaik supaya persiapan dan perjalanan pasukan negara tidak terjejas,” katanya.
Jepun pada Selasa mengeluarkan amaran kecemasan Tahap lima, iaitu tahap tertinggi, susulan hujan lebat dan banjir di beberapa kawasan Aichi dan Gifu, termasuk peningkatan paras Sungai Shonai yang merentasi kedua-dua wilayah berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
