Doa ibu jadi penguat Rozhatul Amani raih 10A SPM

KUALA LUMPUR – Doa ibu menjadi antara penguat semangat pelajar cemerlang, Rozhatul Amani Abu Bakar sehingga berjaya memperoleh keputusan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Rozhatul Amani, 18, berkata, dia sentiasa meminta ibunya mendoakan kejayaan setiap kali sebelum menduduki peperiksaan, termasuk memaklumkan waktu dan mata pelajaran yang bakal didudukinya.
“Setiap kali sebelum peperiksaan, saya akan telefon mak dan beritahu kertas yang akan saya duduki pada hari tersebut. Mak tanya pukul berapa peperiksaan bermula dan mendoakan saya pada waktu berkenaan.
“Selain itu, saya juga sentiasa meminta doa daripada guru-guru supaya dapat menjawab peperiksaan dengan tenang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inspirasi Pendidikan Madani Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2026 di Kompleks Darul Kifayah di sini, Khamis.
Majlis itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli dan Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

Rozhatul Amani yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur berkata, antara perkara lain yang diamalkannya ialah menjaga solat, hubungan dengan ALLAH SWT serta hubungan baik dengan orang di sekeliling.
“Saya juga tidak segan bertanya kepada guru jika tidak memahami sesuatu perkara. Saya akan bertanya bagaimana hendak menyelesaikannya dan meminta guru mendoakan kejayaan saya.
“Saya turut memberi tumpuan sepenuhnya ketika berada di dalam kelas, terutama bagi subjek yang sukar seperti Matematik Tambahan,” katanya.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, dia kini sedang mengikuti pengajian di sebuah kolej sebelum merancang melanjutkan pengajian di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dalam bidang Perakaunan di peringkat ijazah.
Rozhatul Amani merupakan penerima Bantuan Am Persekolahan MAIWP.
Untuk rekod Bantuan Am Persekolahan MAIWP dari 2022 hingga 2025 berjumlah RM3,200, manakala bantuan persediaan Institut Pengajian Tinggi RM500 seorang.
Sementara itu, doa dan restu ibu bapa menjadi antara pendorong utama kejayaan Islah Taqifuddeen Zulkarnain yang memperoleh keputusan Mumtaz bagi kesemua 10 subjek dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Islah Taqifuddeen berkata, kejayaan itu turut disumbangkan hasil usaha gigihnya selain bimbingan guru yang sentiasa membantu sepanjang tempoh pengajian.
“Saya banyak menghabiskan masa dengan membuat latihan dan kadang-kadang terpaksa berjaga malam untuk mengulang kaji pelajaran.
“STAM juga sangat mementingkan hafalan dan itu merupakan antara kelemahan saya kerana saya bukan seorang yang gemar menghafal,” katanya.

Menurutnya, kelemahan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha, sebaliknya dia cuba sedaya upaya memperbaiki kelemahan tersebut demi mencapai keputusan terbaik.
“Saya cuba sedaya upaya mengatasi kelemahan itu dan melakukan yang terbaik untuk membanggakan ibu bapa,” katanya.
Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, dia turut menerima bantuan pendidikan kerana bersekolah di bawah kendalian Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
"Saya bersyukur apabila turut menerima tawaran meneruskan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),” katanya.
Penerima Anugerah Huffaz Terbaik, Muhammad Danish Ahmad Zaker 20, pula menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu penghargaan bermakna atas usaha dan sokongan yang diterimanya sepanjang pengajian.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana terpilih menerima anugerah ini. Ini kali pertama saya menerima anugerah sebegini dan saya memang tidak menyangka terpilih dalam kalangan ramai penerima,” katanya.

Muhammad Danish yang merupakan anak kedua daripada empat beradik berkata, dia turut menerima insentif menerusi Bantuan Galakan Huffaz sebagai penghargaan terhadap usaha dan pencapaiannya dalam bidang hafazan.
Sementara itu, Zulkifli memaklumkan MAIWP memperuntukkan lebih RM3.58 juta bagi menghargai 1,345 pelajar cemerlang akademik dan peserta hafazan al-Quran menerusi majlis berkenaan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM2.343 juta diperuntukkan kepada 759 pelajar cemerlang akademik 2025 yang terdiri daripada penerima Bantuan Am Persekolahan serta pelajar Institusi Pendidikan MAIWP, termasuk di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.
“Pelajar yang diraikan mencatat kecemerlangan dalam peperiksaan SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan STAM 2025," katanya.
Setiap penerima menerima sebuah telefon pintar, insentif tunai melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) serta sijil penghargaan.
Dalam majlis sama, seramai 586 peserta hafazan al-Quran menerima Insentif Galakan Hafaz al-Quran membabitkan peruntukan keseluruhan RM1.240 juta.
Zulkifli turut menyeru pelajar supaya tidak menjadikan kejayaan akademik sebagai satu-satunya ukuran kecemerlangan, sebaliknya terus membina sahsiah terpuji, disiplin dan jati diri bagi mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
“Komitmen MAIWP dalam pembangunan pendidikan turut diterjemahkan menerusi agihan dana zakat.
"Sehingga Ogos 2026, sebanyak RM84.36 juta telah diagihkan bagi membantu pendidikan anak-anak asnaf, meliputi keperluan dari peringkat sekolah rendah hingga institusi pengajian tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
