Susu ibu jadi serbuk, apa hukumnya?

Dengan teknologi spray-drying, susu ibu boleh ditukar kepada bentuk serbuk yang lebih tahan lama, menjimatkan ruang, serta mudah dibawa ke mana-mana, seperti mana susu formula yang terdapat di pasaran. Gambar hiasan
Dengan teknologi spray-drying, susu ibu boleh ditukar kepada bentuk serbuk yang lebih tahan lama, menjimatkan ruang, serta mudah dibawa ke mana-mana, seperti mana susu formula yang terdapat di pasaran. Gambar hiasan
A
A
A

DAHULU, ibu-ibu yang menyusukan anak terpaksa menyimpan bekalan susu dalam peti sejuk dan sentiasa risau sekiranya bekalan elektrik terputus atau ruang penyimpanan tidak mencukupi.

Kini, dengan kehadiran teknologi spray-drying, susu ibu boleh ditukar kepada bentuk serbuk yang lebih tahan lama, menjimatkan ruang, serta mudah dibawa ke mana-mana, seperti mana susu formula yang terdapat di pasaran.

Bunyinya memang menarik. Namun, sebaik sahaja seorang pempengaruh popular di media sosial mendedahkan amalan ini untuk kegunaan anak-anaknya sendiri, ramai netizen mula mempersoalkan sama ada amalan ini dibenarkan dari sudut agama.

Persoalan turut timbul mengenai kos pemprosesan, khasiat yang terkandung, dan yang paling penting, hukum fiqahnya.

Menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor (2023), tindakan menukar susu ibu daripada bentuk cecair kepada serbuk adalah harus, atas dasar maslahah bagi mengelakkan pembaziran serta memanjangkan tempoh simpanan susu tersebut.

Namun begitu, keharusan ini bukanlah bersifat mutlak. Pihak mufti telah menetapkan tiga syarat penting yang wajib dipatuhi.

Mesin pemprosesan susu ibu mestilah digunakan secara eksklusif untuk kegunaan ibu berkenaan sahaja. Selain itu, mesin tersebut tidak boleh dikongsi atau digunakan sama oleh ibu-ibu lain bagi mengelakkan risiko percampuran sisa susu.

Hasil susu serbuk yang diproses juga sama sekali tidak dibenarkan untuk tujuan jualan atau komersial.

Mungkin ramai tertanya-tanya mengapa syarat perkongsian mesin dan larangan komersial ini begitu ketat sekali.

Artikel Berkaitan:

Jawapannya terletak pada kepentingan memelihara nasab atau keturunan, iaitu salah satu daripada lima tunjang utama dalam Maqasid Syariah yang wajib dijaga dalam Islam.

Sekiranya susu daripada ibu-ibu yang berbeza tercampur akibat diproses secara berkongsi atau dikomersialkan tanpa kawalan yang ketat, bayi yang meminumnya akan dikira sebagai anak susuan kepada ibu tersebut.

Masalahnya, akan menjadi sukar untuk mengesan siapa sebenarnya saudara susuan bayi itu apabila mereka meningkat dewasa kelak, dan ini secara langsung membuka risiko berlakunya perkahwinan sesama mahram susuan, sesuatu yang diharamkan secara mutlak dalam Islam.

Tokoh ulama Dr Wahbah al-Zuhaili turut menekankan kepentingan menyempurnakan tempoh penyusuan sehingga genap dua tahun, berpandukan panduan yang terkandung dalam Surah al-Baqarah ayat 233.

Ada yang mungkin beranggapan bahawa sebaik sahaja susu ditukar bentuk kepada serbuk, hukumnya turut berubah. Sebenarnya tidak demikian.

Jabatan Fatwa Jordan menjelaskan bahawa perubahan sifat fizikal susu, sama ada dibekukan mahupun diserbukkan, tidak menjejaskan status hubungan anak susuan yang telah terbentuk.

Pandangan ini turut disokong kuat oleh ulama Mazhab Syafi'i. Al-Khatib al-Shirbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj menjelaskan bahawa susu ibu tidak disyaratkan kekal dalam bentuk cecair asal untuk mengesahkan hukum susuan.

Walaupun susu tersebut dibekukan, dijadikan keju, yogurt kering, dikeluarkan menteganya, mahupun diuli bersama tepung menjadi makanan lalu disuapkan kepada bayi, status anak susuan tetap sabit. Ini kerana asas perkiraan syarak di sini adalah zat dan khasiat makanan yang berjaya sampai ke dalam perut bayi serta membantu pertumbuhannya, bukan bergantung kepada bentuk fizikal susu itu sendiri.

Bagi menjelaskan kekeliruan masyarakat awam, Jabatan Mufti Negeri Selangor turut memperincikan tiga syarat utama yang wajib dipenuhi bagi mengesahkan hubungan anak susuan.

Bayi mestilah menyusu sebanyak lima kali dalam sesi yang berasingan, dan setiap sesi susuan itu mestilah mengenyangkannya.

Susu yang dihisap atau diminum itu juga perlu dipastikan masuk dan sampai terus ke dalam perut bayi. Selain itu, umur bayi mestilah tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah.

Menariknya, sekiranya susu ibu tersebut bercampur dengan bahan lain, hubungan susuan masih dikira sah dengan syarat kuantiti susu ibu itu mestilah lebih banyak berbanding bahan campuran tersebut.

Bagi memastikan hubungan penyusuan ini direkodkan secara sistematik, umat Islam dinasihatkan agar memanfaatkan Sistem MyRadha'ah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sistem pendaftaran ibu dan anak susuan ini amat penting bagi menjaga keturunan daripada sebarang kekeliruan nasab pada masa hadapan.

Berdasarkan statistik permohonan pendaftaran maklumat ibu susuan dan anak susuan melalui Kad MyRadha'ah sehingga September 2023, sebanyak 153 permohonan telah diterima.

Memandangkan isu penyusuan kontemporari semakin kompleks, sudah tiba masanya pihak berkuasa memperkasakan semula peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia berkaitan penyusuan, bagi mengawal selia isu ini secara lebih menyeluruh demi menjamin nasab generasi masa hadapan.

Kesimpulannya, biarpun inovasi menukarkan susu ibu menjadi serbuk ini menawarkan seribu satu kemudahan, pemeliharaan kesucian nasab keturunan mestilah sentiasa diletakkan sebagai sempadan syarak yang paling utama.

* Dr Anisatul-Qalbi Mohd Sofiyuddin, Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!