Anak, bapa saudara maut kereta terbabas langgar pokok

ROMPIN - Dua maut manakala seorang cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas melanggar pokok di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Johor Bahru di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam membabitkan tiga mangsa yang mempunyai pertalian keluarga.
Menurutnya, pemandu kereta berkenaan, R Vijay, 27, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Rompin manakala bapa saudaranya, P Vijayan, 17, yang berada di tempat duduk penumpang belakang maut di tempat kejadian.

Katanya, seorang lagi penumpang, M Tanush Kumar, 16, yang juga sepupu kepada Vijay cedera di badan.
"Siasatan awal mendapati tiga pekerja sebuah kedai cuci kereta itu dalam perjalanan dari arah Rompin menghala ke Kuantan.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Iswara dinaiki dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu melanggar pokok di bahu jalan sebelah kiri,” katanya.
Sharif Shai berkata, mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Rompin untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

