Dua maut kereta terbabas langgar pokok

KUANTAN - Dua maut manakala seorang cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Johor Bahru, Rompin pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, pemandu kereta R. Vijay, 27, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Rompin manakala penumpang belakang P. Vijayan, 17, maut di tempat kejadian.
Beliau berkata, seorang lagi penumpang M Tanush Kumar, 16, yang duduk di bahagian hadapan kenderaan itu mengalami kecederaan pada badan.
"Hasil siasatan awal mendapati tiga lelaki itu dalam perjalanan dari arah Rompin menghala ke Kuantan. Apabila sampai di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu melanggar pokok di bahu jalan sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sharif Shai berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu ketika memandu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa yang maut dijadualkan pada 9 pagi esok di Hospital Rompin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
