Ibu, anak lelaki maut nahas

Nahas yang melibatkan kereta dan lori mengorbankan dua nyawa di Jalan Tanjung Tualang-Kampung Gajah hari ini.
Nahas yang melibatkan kereta dan lori mengorbankan dua nyawa di Jalan Tanjung Tualang-Kampung Gajah hari ini.
A
A
A

PASIR SALAK - Seorang wanita dan anak lelakinya maut selepas kereta dinaiki bertembung sebuah lori di Jalan Tanjung Tualang - Kampung Gajah berhampiran Simpang Kota Pinang di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 3.35 petang itu, mangsa Law Ai Yeng, 37, dan anaknya yang belum dikenalpasti identiti berusia 7 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, siasatan awal mendapati, lori muatan ikan dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun itu hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

"Kenderaan mangsa yang berada di laluan itu tidak sempat mengelak menyebabkan perlanggaran berlaku.

"Insiden itu mengakibatkan pemandu dan penumpang kereta meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu lori dan kelindannya warga Indonesia berusia 27 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Menurutnya, mangsa yang beralamat dari Taman Sitiawan, Sitiawan ketika kejadian menaiki kereta jenis Perodua Viva dari arah Tanjung Tualang menuju ke Kampung Gajah.

"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai dan melulu hingga menyebabkan kematian," katanya.

Artikel Berkaitan: