PM Thailand pertahan tindakan usir warga Israel

BANGKOK - Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Thailand, Anutin Charnvirakul mempertahankan keputusannya menandatangani perintah pengusiran terhadap seorang warga Israel susulan dakwaan tingkah laku berunsur ancaman.
Anutin berkata, tindakan itu selaras dengan peraturan yang disemak semula bagi memperkukuh penguatkuasaan serta melindungi keselamatan Thailand.
Bercakap di ibu pejabat Parti Bhumjaithai, beliau menjelaskan pindaan terhadap peraturan Pejabat Perdana Menteri bertujuan membolehkan tindakan lebih pantas dan tegas diambil terhadap warga asing yang berkelakuan tidak wajar ketika berada di negara itu.
Menurutnya, Thailand mempunyai kuasa untuk mengusir warga asing sekiranya tingkah laku mereka terhadap rakyat tempatan atau ketika berada di negara itu dianggap tidak boleh diterima, tidak wajar atau mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan orang awam.
Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan tersebut mengikut undang-undang.
Anutin menegaskan Thailand mahu terus mengalu-alukan kedatangan pelancong dari seluruh dunia.
Bagaimanapun, warga asing yang memasuki negara itu perlu menghormati undang-undang, rakyat serta adat, budaya dan tradisi Thailand.
“Jika mereka datang ke sini dan berkelakuan tidak wajar, kami berhak meminta mereka meninggalkan negara kami,” katanya.
Anutin berkata, pendekatan sama akan digunakan dalam kes lain sekiranya tingkah laku individu terbabit memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk pengusiran.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan undang-undang dapat dikuatkuasakan dengan pantas dan tegas, selain menjaga keselamatan negara serta rakyat Thailand. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

