Pang Ron-Pei Jing cipta sejarah, tempah tiket final

Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing melakar pencapaian terbaik sejak digandingkan pada Mac lepas apabila mara ke final China Masters di Arena Shenzhen, hari ini.
Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing melakar pencapaian terbaik sejak digandingkan pada Mac lepas apabila mara ke final China Masters di Arena Shenzhen, hari ini.
A
A
A

BEREGU campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing melakar pencapaian terbaik sejak digandingkan pada Mac lepas apabila mara ke final China Masters di Arena Shenzhen, hari ini.

Pada aksi separuh akhir, pasangan ranking ke-85 dunia itu menampilkan persembahan meyakinkan untuk menewaskan wakil tuan rumah Zhu Yi Jun-Li Qian 21-12, 21-10, sekali gus menempah pertemuan dengan pasangan nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pada final esok.

Yan Zhe-Dong Ping pula menamatkan cabaran satu lagi beregu profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menerusi kemenangan 21-11, 24-22 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Sementara itu, hasrat Malaysia untuk menyaksikan final sesama sendiri dalam acara beregu lelaki tidak kesampaian apabila kedua-dua wakil negara terkandas pada separuh akhir.

Pada kejohanan berstatus Super 750 itu, gandingan baharu Tee Kai Wun-Yap Roy King memberikan tentangan sengit sebelum akur kepada beregu tuan rumah He Ji Ting-Ren Xiang Yu 21-23, 21-17, 17-21 dalam pertarungan selama 64 minit.

Beregu profesional negara Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong turut gagal melangkah ke final selepas tewas kepada naib juara edisi lepas yang juga pilihan keempat dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 16-21, 21-18, 11-21 dalam aksi selama 66 minit. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!