Pang Ron-Pei Jing naib juara Masters China

Pang Ron (dua dari kiri) dan Pei Jing muncul naib juara Masters China 2026 setelah tewas di tangan pasangan tuan rumah di Shenzhen, pada Ahad. Foto: Agensi
Pang Ron (dua dari kiri) dan Pei Jing muncul naib juara Masters China 2026 setelah tewas di tangan pasangan tuan rumah di Shenzhen, pada Ahad. Foto: Agensi
A
A
A

BEREGU campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing memperoleh suntikan keyakinan besar untuk meneruskan gandingan mereka apabila muncul naib juara Masters China 2026 selepas tewas kepada pasangan nombor satu dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping di Shenzhen, pada Ahad.

Walaupun turun dengan ranking ke-85 dunia, Pang Ron-Pei Jing tidak memberi laluan mudah kepada gandingan tuan rumah itu sebelum tewas 19-21, 16-21 dalam pertarungan final yang berlangsung selama 50 minit.

Kekalahan berkenaan menyaksikan pasangan negara itu ketinggalan 0-1 dalam rekod pertemuan dengan Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, yang merupakan pertemuan sulung kedua-dua gandingan.

Namun, pencapaian di pentas berstatus Super 750 itu cukup bermakna buat Pang Ron-Pei Jing yang baru digandingkan sejak Mac lalu, malah menjadi kempen terbaik mereka setakat ini.

Sebelum ini, mereka hanya mampu melangkah ke separuh akhir Terbuka Macau pada Jun, menjadikan kemaraan ke final di Shenzhen sebagai perkembangan positif dalam usaha membina keserasian.

Bagi Pang Ron, final kali ini mengulangi pencapaiannya di Masters China 2024 apabila dia turut muncul naib juara bersama Cheng Su Yin selepas tewas kepada lawan yang sama.

Pei Jing berkata, mereka tetap berpuas hati dengan persembahan sepanjang kejohanan walaupun terpaksa berdepan tekanan serta beberapa detik sukar pada perlawanan akhir.

"Kami gembira dengan prestasi sepanjang kejohanan. Dalam final, ada ketika fikiran negatif muncul tetapi kami cuba kembali fokus dan mencari semula rentak permainan.

"Saya fikir mentaliti seperti itu sangat penting untuk kami. Harap kami dapat mengekalkan momentum ini apabila beraksi dalam kejohanan seterusnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pang Ron mengakui mereka mengambil sedikit masa untuk mengatasi kegugupan pada awal perlawanan sebelum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

"Kami perlu belajar daripada perlawanan ini dan mencari cara untuk mengatasi situasi seperti itu pada masa akan datang," katanya.

Sebagai naib juara, Pang Ron-Pei Jing membawa pulang AS$43,750 (RM179,000), manakala sebagai juara, pasangan tuan rumah meraih wang tunai AS$92,500 (RM374,000).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!