Pemimpin UMNO kecam Timbalan Menteri tidak patuh PKP

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A
SHAH ALAM - Pemimpin UMNO mengecam individu bertaraf timbalan menteri kerana tidak menunjukkan contoh yang baik dalam mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin berkata, arahan kawalan pergerakan tersebut perlu dipatuhi semua pihak, manakala kepimpinan pula perlu menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat.

'Di negara lain seperti New Zealand, Menteri kesihatannya letak jawatan kerana melanggar peraturan 'lockdown', begitu juga orang awam di negara masing-masing melahirkan kemarahan kepada Menteri Perumahan UK dan Menteri Komunikasi South Afrika atas sebab yang sama.

"Kita tidak mahu ada peraturan-peraturan yang berbeza, kepimpinan mesti tunjukkan tauladan," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya sebentar tadi.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa keping gambar Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali didakwa berkumpul dengan beberapa orang di Ma'ahad Tahfiz di kawasan Lenggong.

Dr Noor Azmi yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Serai itu didakwa melanggar PKP pada majlis itu yang dikatakan turut dihadiri Exco Perak, Razman Zakaria.

Sejurus selepas itu, satu majlis makan beramai-ramai diadakan tanpa penjarakkan sosial seperti yang disarankan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun, gambar-gambar berkenaan yang didakwa dimuat turun dalam satu status di laman Facebook Dr Noor Azmi dipercayai telah pun dipadamkan hari ini.

KKM sebelum ini berkata, sesiapa sahaja didapati berkumpul dalam mana-mana keramaian, walaupun sudah diarahkan untuk mematuhi garis panduan PKP akan berdepan hukuman dua tahun penjara.
Artikel Berkaitan:


Dalam masa sama, KKM turut menegaskan bahawa perkara itu terkandung dalam Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.