Muktamar Pas: Zahid tak hadir tak bermaksud UMNO solo - Takiyuddin

Takiyuddin - Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Takiyuddin - Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - Ketidakhadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Muktamar Tahunan Pas Ke-72 bukan bermaksud UMNO akan bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau sebaliknya menjelaskan, andaian berkenaan tidak berasas kerana perundingan politik antara kedua-dua parti besar itu masih berjalan selain beliau sendiri terlibat secara langsung dalam proses tersebut.

“Tidak langsung, tidak sama sekali. Saya boleh mengesahkan perkara itu sebab antara yang terlibat secara langsung.

“Kami akan teruskan perundingan kita akan diteruskan mungkin dalam sehari dua ini,” katanya pada sidang media selepas penutupan Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di sini pada Sabtu.

Barisan kepimpinan tertinggi Pas yang bergambar selepas selesai muktamar. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Barisan kepimpinan tertinggi Pas yang bergambar selepas selesai muktamar. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Mengulas mengenai langkah seterusnya susulan kelulusan usul Penyatuan Ummah, Takiyuddin berkata, Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan mesyuarat dalam bulan ini bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama politik.

Menurutnya, antara agenda utama mesyuarat berkenaan ialah persiapan menghadapi PRN Melaka selain meneliti strategi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

Dalam perkembangan sama, Takiyuddin berkata, Pas kekal yakin hubungan antara PN dan Barisan Nasional (BN) berada pada landasan yang baik.

Artikel Berkaitan:

Katanya, setakat ini juga tiada sebarang rundingan melibatkan Pakatan Harapan termasuk Parti Keadilan Rakyat dalam kerjasama politik yang sedang dibincangkan.

Muktamar berkenaan meluluskan empat usul utama termasuk usul Penyatuan Ummah yang menjadi antara fokus perbahasan sepanjang persidangan parti itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!