Suspek ragut, tetak peniaga ayam ditahan

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes ragut dan tetak seorang peniaga ayam di Kampung Bukit Pepari, Setiu, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, suspek berusia 26 tahun yang juga penduduk tempatan ditahan dalam semak tepi sebuah rumah kira-kira jam 3.30 pagi semalam.

Beliau berkata, penahanan seorang daripada tiga suspek diharap dapat membantu menyelesaikan kes itu yang menyebabkan mangsa wanita berusia 52 tahun terpaksa menerima 19 jahitan di kepala.

"Suspek yang tidak bekerja ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Unit D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu dan Bahagian Siasatan Jenayah Setiu dalam satu operasi awal pagi semalam.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif Methamphetamine dan dia kini direman seminggu sehingga Isnin ini untuk membantu siasatan kes," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis kini memburu dua lagi rakan suspek yang masih bebas dipercayai turut terbabit dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Jumaat lalu, seorang wanita terpaksa menerima 19 jahitan di kepala selepas ditetak dengan parang ketika bergelut dengan suspek yang kemudian melarikan sebahagian rantai emasnya yang terputus dua.

Sebelum kejadian, suspek berpura-pura melanggar tiang rumah dan motosikal yang diletakkan di hadapan rumah mangsa dengan sebuah kereta Proton Wira Aeroback berwarna hitam.

Artikel Berkaitan:

Kejadian menyebabkan motosikal di dalam rumah mangsa jatuh sebelum wanita itu keluar untuk memeriksa kejadian lalu rantai leher emas dipakainya diragut.