Haramkan iklan ubat dalam talian

ADAKAH anda mahu kurus sehingga sanggup mempertaruhkan kesihatan? Atau lebih buruk lagi, nyawa sendiri? Jika jawapannya tidak, jangan sesekali terpedaya dengan tawaran produk pelangsingan atau ubat kurus segera yang kini semakin berleluasa dijual secara terbuka di platform dalam talian.
Amaran mengenai perkara itu turut disuarakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini yang memandang serius pengiklanan dan penjualan produk penurunan berat badan secara dalam talian, termasuk produk yang mengandungi retatrutide atau ‘Reta’, selain pelbagai ubat suntikan lain yang ditawarkan kepada orang ramai.
KKM turut menasihatkan masyarakat supaya memastikan setiap produk penurunan berat badan yang digunakan berdaftar, diluluskan untuk kegunaan berkenaan serta diperoleh daripada sumber yang sah. Nasihat ini bukan sekadar peringatan rutin, sebaliknya menyentuh soal keselamatan pengguna yang tidak boleh dipandang ringan.
Jika mahu menurunkan berat badan, lakukanlah secara sihat melalui pemakanan seimbang, aktiviti fizikal dan perubahan gaya hidup. Prosesnya mungkin mengambil masa, tetapi itulah jalan yang lebih selamat daripada mempertaruhkan kesihatan demi hasil yang cepat.
Dalam hal ini, sudah tiba masanya kerajaan memperkemas dan memperketat peraturan berkaitan pengiklanan ubat-ubatan serta produk kesihatan di platform dalam talian. Malah, bagi produk tertentu yang berisiko tinggi, pengiklanannya wajar diharamkan terus.
Perkembangan teknologi membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk menjual pelbagai produk menerusi platform digital. Namun, kemudahan itu turut disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk memasarkan produk kesihatan yang diragui kandungan, status pendaftaran dan tahap keselamatannya.
Dalam keadaan sedemikian, pengguna menjadi pihak yang menanggung akibat, sedangkan penjual boleh sahaja menghilangkan diri atau menukar identiti.
Justeru, peraturan lebih tegas terhadap pengiklanan ubat-ubatan dalam talian perlu dilaksanakan sebelum masalah ini menjadi lebih parah. Masyarakat juga perlu dididik supaya mendapatkan ubat hanya daripada hospital, klinik dan premis farmasi yang sah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
