Sepupu Nabi Muhammad juga pertahan bendera

No Image Caption
A
A
A

Soalan

Bila tiba Bulan Kemerdekaan, orang ramai akan bersemangat memasang bendera Malaysia. Malangnya apabila ia terjatuh atau terbang ditiup angin, orang buat tidak tahu sahaja hinggakan ada yang dipijak. Bukankah agama Islam melarang kita daripada memijak bendera?

Jawapan

Jalur Gemilang adalah simbol dan identiti penting bagi Malaysia. Ia mempunyai nilai dan darjat yang melambangkan kedaulatan, kemerdekaan dan kebebasan negara kita.

Dalam Islam, kita diwajibkan untuk mentaati pemerintah, selain daripada memberi ketaatan utama kepada ALLAH SWT dan juga kepada rasul-NYA.

Jadi menghormati dan mempertahankan Jalur Gemilang merupakan salah satu tanda ketaatan kita kepada pemerintah.

Sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai warganegara Malaysia mempertahankan Jalur Gemilang yang kita cintai daripada dijatuhkan mahupun dihina seperti sengaja dipasang secara terbalik, dibakar dan seumpamanya.

Kita ambil pengajaran daripada sejarah peperangan Islam yang mana Jaafar bin Abi Talib RA menjaga dan mempertahankan bendera sekalipun tangannya ditetak. Bahkan beliau menggunakan tangan yang lain untuk kekal memegang bendera.

Oleh itu tanggungjawab kita semua sebagai rakyat dan warganegara Malaysia untuk tidak memijak bendera kebangsaan dan letakkanlah ia di tempat yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, bendera yang lusuh pula tidak dibiarkan sahaja dan segera digantikan. Jangan pula sengaja memasang bendera secara terbalik.

Jika tidak tahu cara untuk memasang Jalur Gemilang, belajarlah untuk memasang bendera dengan betul. Jadilah warganegara yang baik kerana warga yang prihatin akan memberi penghormatan sewajarnya kepada benderanya iaitu Jalur Gemilang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!