100 gerai tempatan meriahkan Bersama Satu Bazaar MR D.I.Y

SERAMAI 100 peniaga tempatan berpeluang mengetengahkan pelbagai makanan dan produk gaya hidup menerusi penganjuran Bersama Satu Bazaar 2026 oleh MR D.I.Y. Group Berhad di Sunway Pyramid Open Car Park di sini.
Menerusi acara yang berlangsung dari Jumaat hingga Isnin ini, kesemua peniaga terlibat ditempatkan di zon Jalan Viral yang menjadi antara tarikan utama bazar itu sekali gus memberi peluang kepada pengunjung meneroka pelbagai pilihan makanan dan produk daripada jenama gaya hidup tempatan.
Naib Presiden Kanan Pemasaran MR D.I.Y., Alex Goh berkata, penganjuran bazar itu memberi peluang kepada pihaknya menyokong peniaga tempatan selain membawa kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan lebih dekat dengan komuniti
"Penganjurannya secara tidak langsung mewujudkan pengalaman bermakna bagi keluarga dan lebih dekat dengan komuniti yang kami santuni," katanya.
Bersama Satu Bazaar 2026 kembali untuk tahun ketiga berturut-turut selepas penganjuran pada 2024 dan 2025.
Bagaimanapun, tahun ini acara itu diperluaskan ke luar Lembah Klang buat kali pertama dengan Johor dipilih sebagai lokasi baharu dan akan berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall dari 11 hingga 13 September depan.
Di lokasi Lembah Klang, acara kira detik khas dan pertunjukan bunga api turut dijadualkan pada malam 30 Ogos sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Mengulas lanjut, katanya, pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai makanan popular, juadah kegemaran dan produk jenama gaya hidup tempatan sambil menyokong usahawan tempatan di Jalan Viral.
Selain itu, katanya, pengunjung turut boleh meneroka Jalan DIY yang menawarkan barangan keperluan harian rumah, selain snek dan minuman ringan.
"Acara ini turut menyediakan aktiviti mesra keluarga termasuk permainan interaktif di Jalan Fun, bengkel STEM Discovery anjuran Yayasan MR D.I.Y. dan petting zoo.
"Persembahan kebudayaan secara langsung turut diadakan sepanjang bazar berlangsung," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

