Foodpanda hargai 'rider' melalui caruman Perkeso

Foodpanda Malaysia mengambil berat kebajikan penghantar makanan mereka apabila syarikat itu mencarum dengan Perkeso. -Foto Bernama
Foodpanda Malaysia mengambil berat kebajikan penghantar makanan mereka apabila syarikat itu mencarum dengan Perkeso. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peneraju platform penghantaran makanan dalam talian, Foodpanda Malaysia komited terhadap kebajikan penghantar makanan mereka dengan memberi perlindungan keselamatan sosial jika berlaku kejadian luar jangka ketika bekerja.

Justeru, syarikat berkenaan membuat caruman melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM199,958.40 untuk perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada 2,544 penghantar makanan mereka.

Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia, Sayantan Das berkata, kesihatan dan keselamatan penghantar makanan adalah keutamaan mereka.

"Pada awal tahun lalu, kami melancarkan polisi insurans yang melindungi 24 jam penghantar makanan.

"Sumbangan kami kepada Perkeso adalah antara inisiatif kepada penghantar makanan dan kami sentiasa komited memberikan yang terbaik kepada semua penghantar makanan kami," katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berharap lebih banyak organisasi dan perusahaan lain mengambil langkah proaktif seperti Foodpanda Malaysia supaya lebih ramai golongan yang bekerja sendiri mendapat perlindungan.

"SKSPS memberi perlindungan kepada orang berinsurans bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa bekerja.

"Antara faedah yang disediakan melalui skim ini ialah faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan jenazah, kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dan juga pinjaman pendidikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Perkeso melalui SKSPS menyediakan perlindungan kepada orang bekerja sendiri dari 20 sektor tidak formal termasuklah sektor pengangkutan barangan dan makanan.

Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) mula dikuat kuasa sejak 1 Jun 2017 secara berperingkat bermula dengan sektor pengangkutan penumpang iaitu pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas.

Dianggarkan kini terdapat seramai 2.8 juta orang bekerja sendiri di seluruh negara.