X

Kindly register in order to view this article
!

Empat tekong darat dalang seludup PATI

Mohd Zubil Mat Som
A
A

SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan empat tekong darat yang aktif membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan jalan laut ke dalam negara.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, risikan pihaknya mendapati tekong darat yang turut terdiri daripada warga asing itu aktif di beberapa negeri seperti Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Selangor.

Menurutnya, APMM percaya tekong itu telah lama bergiat aktif dan usaha menyekat kegiatan mereka ini sedang dilaksanakan untuk membanteras kegiatan kemasukan PATI.

"Diingatkan bahawa mereka (tekong darat) ini sedang dipantau. Kita sudah ada nama dan telah kenal pasti mereka.

"Kita akan lihat dan siasat tindakan mereka ini mengikut Akta Antipemergadangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Selain itu, beliau berkata, dalam usaha membanteras kemasukan PATI melalui jalan laut, APMM telah melaksanakan kerjasama dengan beberapa agensi keselamatan seperti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Katanya, tindakan penguatkuasaan ini bukan sahaja tertumpu di bahagian utara perairan negara, bahkan seluruh sempadan maritim negara.

"Kita akan memastikan tiada pendaratan PATI khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bagi mengelak risiko jangkitan wabak Covid-19," katanya.

Menurutnya, tugas APMM adalah menjalankan penguatkuasaan di laut dalam memastikan tiada pelanggaran undang-undang dilakukan daripada mana-mana pihak khususnya sepanjang PKP ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!