Penghantar makanan perlu elak 'diperdaya' pengedar dadah

R Sundralingam
R Sundralingam
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menasihatkan penghantar makanan dan bungkusan lebih berhati-hati bagi mengelakkan diperdaya pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, jenayah itu juga akan menjejaskan reputasi syarikat penghantar makanan dan bungkusan walaupun mereka tidak terlibat secara langsung.

"Polis mengesan enam syarikat termasuk penghantar makanan dan syarikat penghantar bungkusan terlibat dalam kes berkenaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Ramai penghantar makanan dan bungkusan tidak tahu mereka membawa dadah kerana hanya menjalankan perkhidmatan yang dipesan pelanggan. Jadi mereka perlu bekerjasama dengan polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Sundralingam menyarankan, syarikat penghantar makanan memastikan pesanan diterima melalui kedai atau restoran yang diiktiraf dan tidak mengambil pesanan dari individu yang mencurigakan.

Tambahnya, sebanyak 277 kes dicatatkan melibatkan pelbagai kes dadah dengan 407 tangkapan direkodkan pihaknya sejak PKP fasa pertama 18 Mac lalu hingga kini.

"Daripada jumlah itu, 33 kes melibatkan dadah direkodkan di Sekatan Jalan Raya dengan 40 tangkapan," katanya.

Artikel Berkaitan: