JKM sedia jaga bayi positif dadah

KOTA BHARU - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan bersedia mengambil bayi perempuan berusia lima bulan yang positif dadah, sekiranya ibu bapanya didapati tidak sesuai untuk menjaganya.
Pengarah JKM Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, pihaknya juga akan mendapatkan ahli keluarga terdekat untuk menjaga bayi berkenaan, sebelum mempertimbangkan penempatan di institusi JKM bagi memastikan keselamatan dan kebajikannya terpelihara.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan bayi berkenaan yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II.
"Buat masa ini, kami belum melawat bayi berkenaan kerana kes masih dalam siasatan pihak polis.
"Kami perlu melihat keadaan ibu bapa bayi ini. Sekiranya mereka tidak sesuai, kami akan mengambil dan menyelamatkan bayi ini atau mencari ahli keluarga yang bersedia menjaganya,” katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Pada 12 Ogos lepas, bayi perempuan itu didapati positif amphetamine dan benzodiazepines selepas menjalani saringan air kencing di NICU hospital berkenaan.
Susulan itu, polis menahan ibu bayi tersebut berumur 30 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
