Trump rancang bertemu Jong Un

Kali terakhir kedua-dua pemimpin itu bertemu di Panmunjom pada 2019.
Kali terakhir kedua-dua pemimpin itu bertemu di Panmunjom pada 2019.
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump merancang bertemu pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un pada akhir tahun ini dalam usaha menghidupkan semula hubungan yang didakwa pernah terjalin antara mereka ketika penggal pertama pentadbirannya di Rumah Putih.

Pendekatan Trump terhadap Pyongyang berubah secara tiba-tiba apabila beliau 'berpaling tadah' kepada Jong Un malah mengakui mempunyai hubungan baik dengan pemimpin negara bersenjata nuklear itu meskipun sebelum ini isu program nuklear negara itu menjadi antara kebimbangan utama Washington.

"Penting untuk AS menjalinkan hubungan baik dengan Jong-un kerana Korea Utara mempunyai 57 senjata nuklear yang sangat berkuasa," ujarnya pada Rabu.

Adik pemimpin itu, Kim Yo Jong bagaimanapun menafikan bahawa Korea Utara sedang berkomunikasi dengan Trump, sekali gus menyangkal dakwaan mengenai hubungan antara kedua-dua pihak.

Perubahan pendirian Trump terhadap Korea Utara dan keputusan mengurangkan skala latihan ketenteraan bersama Washington-Seoul kini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sekutu Asia. Perkembangan itu turut mencetuskan spekulasi bahawa pemimpin Republikan tersebut sedang berusaha meraih kejayaan dalam dasar luar ketika perang dengan Iran berdepan kebuntuan.

Trump tidak memberikan butiran lanjut mengenai rancangan pertemuan itu. Namun, The Wall Street Journal melaporkan beliau sedang mempertimbangkan untuk bertemu Jong Un ketika melakukan lawatan ke Shenzhen, China bagi menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada November depan.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Korea Selatan, Ahn Gyu-back memaklumkan Korea Utara dianggarkan memiliki antara 80 hingga 120 senjata nuklear dan mereka kekal menolak pengiktirafan rasmi Pyongyang sebagai negara bersenjata nuklear. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!