LKIM guna platform e-dagang jual ikan

Raja Kahalid (dua dari kanan) meninjau Pasar Segar Terkawal di Kompleks LKIM Kuala Kurau, Parit Buntar semalam.
Raja Kahalid (dua dari kanan) meninjau Pasar Segar Terkawal di Kompleks LKIM Kuala Kurau, Parit Buntar semalam.
A
A
A

IPOH - Sebagai langkah memastikan hasil laut diedarkan secara berkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil inisiatif menjual ikan segar menggunakan platform e-dagang seperti Shopee.

Ketua Pengarah LKIM, Raja Kahalid Raja Ariffin berkata, langkah itu dibuat bagi membolehkan lebih ramai pengguna dapat membeli hasil laut secara dalam talian sekaligus mematuhi arahan PKP dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Menurutnya, melalui inisiatif tersebut, pengguna yang agak berjauhan dengan pasar nelayan boleh mendapatkan barangan keperluan termasuk hasil laut dengan lebih mudah di satu tempat tanpa perlu ke pasar nelayan.

"Melalui portal e-dagang seperti Shopee rantaian bekalan dan pemasaran makanan dapat dimaksimumkan seterusnya memenuhi permintaan hasil perikanan di seluruh negara.

"LKIM melalui Persatuan Nelayan juga akan menyediakan platform atas talian untuk membolehkan pelanggan membuat pesanan awal atau WhatsApp secara pra pesanan dan membuat bayaran terus secara online bagi memudahkan urusan pengambilan di pick-up point dan urusan pandu lalu di pasar-pasar nelayan terpilih," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, LKIM juga menyarankan Persatuan Nelayan mengubah strategi jualan dan pemasaran ikan menggunakan kaedah tunai semasa terima (COD).

Menurutnya, sebanyak 44 Persatuan Nelayan di seluruh negara telah menjalankan urusan COD sepanjang tempoh PKP bagi memudahkan pembekalan ikan dan hasil laut secara terus kepada pengguna.

"Pelaksanaan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari masyarakat setempat dan LKIM akan terus komited dalam memastikan pengguna mendapat bekalan ikan dan sumber protein yang mencukupi sewaktu PKP berkuatkuasa dan akan meneruskan perkhidmatan ini walaupun selepas PKP tamat.

Artikel Berkaitan:

"Dianggarkan nilai jualan COD bagi seluruh negeri berjumlah RM634,000 dengan kuantiti 59.6 metrik tan setakat 15 April 2020. Ini merupakan usaha yang sewajarnya dibanggakan kerana Persatuan Nelayan telah mengambil inisiatif memasarkan ikan secara terus kepada pengguna dalam masa sama membantu membendung penularan wabak Covid-19," katanya.

Sementara itu, Raja Kahalid menegaskan bahawa bekalan ikan di negara ini masih mencukupi sepanjang tempoh PKP dengan kedudukan semasa stok ikan dalam pasaran adalah sebanyak 185,000 tan metrik berbanding keperluan semasa sebanyak 155,000 tan metrik sebulan.

Malah katanya, jumlah keseluruhan ikan yang didaratkan di 47 Kompleks LKIM diseluruh negara sepanjang tempoh PKP bermula 18 Mac hingga 14 April lalu sebanyak 21,674 tan metrik dengan nilai RM72.62 juta iaitu purata pendaratan sehari adalah berjumlah 774 tan metrik.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan di Pasar Segar Terkawal di Kompleks LKIM Kuala Kurau, Parit Buntar, semalam.