Rundingan berat sebelah hanya 'sasar' Hamas

TEL AVIV - Wakil Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Jared Kushner memaklumkan kemajuan ke arah pelucutan senjata Hamas dan pelaksanaan pelan damai Gaza bakal dimulakan dalam tempoh sebulan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
“Kita mungkin dapat melihat perkembangannya seawal bulan depan," katanya kepada Fox News ketika berada di Tel Aviv pada Isnin.
Kenyataan itu dibuat selepas Kushner dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mencapai perjanjian yang berat sebelah setelah kedua-duanya bersetuju seorang jeneral AS akan memantau proses peletakan senjata Hamas.
Netanyahu pula berkeras Israel tidak akan berundur dari Gaza selagi proses itu belum dilaksanakan.
Menantu Trump itu bertemu pemimpin 'ekstremis' berkenaan sehari selepas mengadakan rundingan secara langsung dengan Hamas di Mesir, satu pertemuan yang jarang berlaku malah wakil perunding mereka secara terbuka menyatakan komitmen terhadap pelan berkenaan.
Pelan hala tuju yang dipersetujui Hamas pada 30 Julai lalu menetapkan bahawa proses pelucutan senjata akan dipantau oleh pasukan antarabangsa diketuai Mejar Jeneral AS, Jasper Jeffers yang bakal ditempatkan di Gaza sekiranya situasi kembali reda.
Sebelum ini, Hamas berjanji untuk berbuat demikian kepada sebuah badan pentadbiran Palestin baharu dengan syarat tiada penempatan baharu tentera rejim Zionis dan pelaksanaan projek pembangunan semula Gaza.
Terdahulu, sumber rapat rundingan itu memberitahu rundingan dengan pemimpin Israel dan Hamas berhubung pelan damai di bawah Lembaga Keamanan AS yang masih buntu untuk menamatkan perang yang berlarutan hampir tiga tahun.
Kedua-dua pihak bertelagah dikatakan masih berpegang teguh pada tuntutan utama masing-masing ketika Israel terus mengebom Gaza, sekali gus melanggar gencatan senjata goyah. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

