Politik identiti dan kegagalan PH

Mungkin sudah tiba masanya PH berhenti menyalahkan politik identiti semata-mata. Gambar kecil: Luthfi
Mungkin sudah tiba masanya PH berhenti menyalahkan politik identiti semata-mata. Gambar kecil: Luthfi
A
A
A

ZIKIR yang kerap kali terkumat-kamit pada sebahagian besar penyokong Pakatan Harapan hari ini sudah tentu menyatakan bahawa BN dan PN hanya tahu memainkan sentimen kaum dan agama yang sempit.

Setiap kali pilihan raya, diagnosisnya hampir sama. Apabila tewas, alasannya juga hampir seragam. Kononnya rakyat termakan propaganda identiti, bukannya menilai dasar dan prestasi.

Barangkali ada benarnya. Tetapi persoalan yang lebih penting ialah jika benar lawan menggunakan politik identiti sejak sekian lama, mengapa PH masih gagal menanganinya setelah menjadi kerajaan?

Saya teringat sebuah video yang pernah tular ketika kempen pilihan raya. Seorang makcik berbaju dan berlogo PN ditanya oleh wartawan mengapa beliau menyokong gabungan tersebut. Jawapannya pendek tetapi cukup menggambarkan cara sebahagian pengundi berfikir.

"Tak tahulah penyokong PH ni pandai mengucap atau tidak?" Jawapan itu mungkin kedengaran lucu kepada penyokong PH. Ada yang menganggapnya kolot, ada yang menganggapnya ekstrem.

Namun dalam politik, persepsi lebih mahal daripada logik. Apa yang ditertawakan oleh satu kelompok kadangkala menjadi keyakinan politik kelompok yang lain.

Ceramah politik, video TikTok, potongan ucapan dan rangkaian WhatsApp sepanjang kempen membuktikan bahawa naratif identiti masih menjadi bahasa yang paling mudah difahami oleh sebahagian pengundi Melayu.

Sama ada PH suka atau tidak, gelanggang politik hari ini bukan lagi sekadar gelanggang fakta, tetapi gelanggang persepsi.

Sebab itulah pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji yang sepatutnya menjadi "peluru berpandu" politik kerajaan akhirnya tidak membawa impak yang diharapkan dalam PRN Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Isu yang sarat dengan persoalan tatakelola, akauntabiliti dan integriti gagal diterjemahkan menjadi gelombang sokongan di peti undi.

Ironinya, PH seolah-olah berasa mereka telah menembak tepat ke arah sasaran. Hakikatnya, sasaran itu sudah lama berubah.

Anda boleh saksikan lagi apabila calon-calon PH yang bertanding di Negeri Sembilan, mereka kerap dan tidak lupa untuk mempromosikan kejayaan Kerajaan Negeri Sembilan di bawah Aminuddin Harun tetapi gagal juga untuk menjadi kerajaan.

Helaian demi helaian risalah dibawa semasa kempen dan disumbat ke rumah-rumah pengundi tetap juga gagal untuk membentuk kerajaan.

Kesilapan terbesar PH bukan kerana mereka tidak mempunyai isu. Mereka mempunyai isu yang besar daripada 1MDB, LCS, Jana Wibawa sehinggalah RCI Tabung Haji.

Masalahnya ialah mereka masih percaya bahawa politik dimenangi dengan mendedahkan skandal, sedangkan lawan mereka bertanding dalam pertandingan yang sama sekali berbeza.

Perikatan Nasional (PN) tidak perlu memenangi hujah ekonomi untuk memenangi emosi. Mereka tidak perlu menjawab setiap dakwaan satu demi satu jika mereka berjaya menentukan apakah soalan yang bermain dalam fikiran pengundi.

Ketika PH bercakap tentang audit, tadbir urus dan laporan forensik, sebahagian pengundi pula sedang bertanya soalan yang lain: "Siapa yang akan mempertahankan agama aku? Siapa yang menjaga Melayu?"

Dalam politik, orang yang menentukan soalan selalunya tidak perlu bersusah payah menjawab jawapan.

Di sinilah PH kelihatan terus terperangkap. Mereka sibuk menjawab dakwaan yang dicipta lawan, sedangkan lawan sibuk mencipta naratif baharu setiap minggu. Akhirnya, PH menjadi pemain yang sentiasa mengejar bola, bukan mengawal permainan.

Mungkin sudah tiba masanya PH berhenti menyalahkan politik identiti semata-mata. Politik identiti bukan fenomena baharu. Ia sudah wujud sejak merdeka.

Yang baharu ialah kegagalan PH memahami bahawa memenangi kerajaan tidak bermaksud memenangi imaginasi rakyat.

Dalam politik, fakta boleh memenangi sidang media. Tetapi naratif sering kali memenangi pilihan raya.

*Luthfi Yusri ialah Pegawai Penyelidik di Nusantara Academy for Strategic Research (NASR)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!