Zakat fitrah Wilayah Persekutuan RM5, RM7

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menetapkan kadar RM5 dan RM7 bagi bayaran zakat fitrah 1441H, tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, dua kadar itu mendapat persetujuan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara’ dengan mengambil kira situasi semasa penularan koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, ia bertujuan meringankan beban umat Islam kurang kemampuan menunaikan kewajipan berzakat.

"Penetapan kadar zakat fitrah RM7 adalah berdasarkan harga beras bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang digunakan oleh kebanyakan masyarakat.

"Pembayar zakat boleh memilih untuk membayar antara dua kadar tersebut berdasarkan kemampuan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kadar zakat fitrah itu selari dengan Resolusi Muzakarah Khas Kali Ke-2 Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang bersidang pada 9 April lalu melalui siaran langsung telekonferens.

"Muzakarah membuat ketetapan yang kaedah pembayaran zakat fitrah boleh dipelbagaikan mengikut kesesuaian di negeri masing-masing dengan mengambil kira peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa.

"Kadar zakat fitrah mengikut ketetapan yang diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri. Bagaimanapun, jumlah bayaran yang perlu dibuat adalah bergantung kepada kemampuan pembayar dan ketua keluarga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tahun lalu, kadar zakat fitrah bagi kawasan Wilayah Persekutuan adalah RM7 sama seperti di kebanyakan negeri termasuk Selangor, Pahang, Terengganu, Perlis dan Kelantan.

Melaka menetapkan dua kadar RM7 dan RM14, Johor RM7 dan RM10 manakala Kedah serta Perak dengan tiga kadar iaitu RM7, RM14 dan RM21.