MULTAQA 2026 perkukuh kewangan sosial Islam sebagai pemacu pemerdayaan ummah

Zulkifli (tengah) melancarkan 'Malaysia's Islamic Finance Report 2026' dalam majlis perasmian MULTAQA 2026 pada Rabu. Foto: Bernama
Zulkifli (tengah) melancarkan 'Malaysia's Islamic Finance Report 2026' dalam majlis perasmian MULTAQA 2026 pada Rabu. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kewangan sosial Islam perlu diperkasa sebagai satu kekuatan strategik dalam pembangunan sosioekonomi negara, bukan sekadar dilihat sebagai mekanisme bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Mesej itu menjadi antara fokus utama 'Multaqa Shariah Intellectual Discourse in Islamic Social Finance 2026' (MULTAQA 2026) yang dirasmikan pada Rabu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Majlis perasmian tersebut turut menyaksikan pelancaran 'Malaysia's Islamic Social Finance Report 2026' sebuah laporan yang mengetengahkan perkembangan, cabaran serta potensi ekosistem Kewangan Sosial Islam sebagai rujukan kepada institusi, industri, akademia dan pemegang taruh berkaitan.

Zulkifli berkata, kewangan sosial Islam perlu beroperasi sebagai ‘The Third Force’ yang bergerak daripada pendekatan sekadar memberi bantuan kepada pemberdayaan masyarakat.

Zulkifli (depan, tengah) bergambar bersama tetamu dalam majlis perasmian MULTAQA 2026 pada Rabu. Foto: Bernama
Zulkifli (depan, tengah) bergambar bersama tetamu dalam majlis perasmian MULTAQA 2026 pada Rabu. Foto: Bernama

Menurut beliau, pendekatan terhadap zakat, wakaf dan instrumen Kewangan Sosial Islam juga perlu bergerak daripada sekadar memenuhi keperluan semasa kepada usaha membina keupayaan penerima untuk berdikari.

“Ukuran kejayaan hari ini tidak lagi bergantung kepada jumlah kutipan semata-mata. Ukuran yang lebih bermakna ialah sejauh mana setiap ringgit yang diamanahkan benar-benar berjaya membina daya tahan keluarga dan membantu penerima keluar daripada kitaran kemiskinan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF University, Professor Emeritus Datuk Dr Mohd Azmi Omar; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pengerusi Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ-MAIWP), Datuk Ahmad Azam Ab Rahman.

Artikel Berkaitan:

Persidangan anjuran bersama PPZ-MAIWP dan Centre of Excellence for Islamic Social Finance (CoEISF) ISRA Institute-INCEIF University itu menghimpunkan kepimpinan tertinggi daripada 14 Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Jawatankuasa Fatwa, kementerian, institusi kewangan Islam serta pakar akademik dan syariah dalam satu platform bagi memperkukuh hubungan antara ilmu, syariah, tadbir urus dan pelaksanaan.

Penganjuran berkenaan turut memberi tumpuan kepada isu-isu strategik termasuk inovasi model dan instrumen Kewangan Sosial Islam, pengukuhan institusi dan tadbir urus, fiqah serta perundangan zakat, cabaran operasi dan pelaksanaan serta pengukuran impak.

Antara isu utama yang diketengahkan ialah keperluan memperkukuh keselarasan antara hukum syariah, kerangka perundangan dan realiti pelaksanaan, selain memastikan pengurusan zakat dan wakaf terus berkembang secara telus, cekap serta responsif terhadap perubahan sosioekonomi semasa.

Perbincangan juga memberi perhatian kepada aspek wakalah zakat, tadbir urus dan akauntabiliti, termasuk bagaimana institusi dapat mempertingkat kecekapan agihan serta keyakinan masyarakat terhadap pengurusan dana sosial Islam.

MULTAQA 2026 turut sama membawa mesej penting mengenai keperluan memperluas kolaborasi antara institusi zakat, wakaf dan Islamic Financial Institutions dalam membangunkan lebih banyak projek sosioekonomi berimpak tinggi.

Sebelum itu, MULTAQA 2026 telah menganjurkan program Latihan Eksekutif khusus bagi memperkukuh kefahaman praktikal dan kemahiran strategik pengamal industri, pengawal selia, serta pengurus institusi zakat dan wakaf.

Menerusi penganjuran itu, PPZ-MAIWP kekal komited memperkukuh ekosistem kewangan sosial Islam melalui pembangunan dasar dan jaringan strategik, sekali gus mengangkat amalan pengurusan zakat, wakaf, dan baitulmal di Malaysia ke peringkat global.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!