Myvi dinaiki empat sekeluarga bertembung Axia

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit untuk menerima rawatan.
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit untuk menerima rawatan.
A
A
A

​DUNGUN - Lima individu termasuk dua kanak-kanak cedera selepas dua buah kenderaan dinaiki mereka bertembung dalam kemalangan berhampiran Pusat Koreksional Bukit Besi, di sini pada Khamis.

​Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, insiden melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki seorang lelaki serta sebuah Perodua Myvi yang dinaiki empat sekeluarga.

​Komander Operasi, Mohd Sharizan Muhammad berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 7.06 pagi.

​Menurutnya, seramai enam anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 20 kilometer.

​"Setibanya di lokasi, didapati empat mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

​"Bagaimanapun, pemandu Perodua Myvi, Abu Sufian Shafie, 47, mendapati berada dalam keadaan tersepit di bahagian tempat duduk pemandu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Keadaan Axia yang terlibat kemalangan berhampiran Pusat Koreksional Bukit Besi di Dungun pada Khamis.
Keadaan Axia yang terlibat kemalangan berhampiran Pusat Koreksional Bukit Besi di Dungun pada Khamis.

​Mengulas lanjut, Mohd Sharizan berkata, anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan pengusung.

Artikel Berkaitan:

​Katanya, tiga lagi penumpang Perodua Myvi yang terbabit ialah Zanariah Puteh, 49; Nur Erdiwana Zulaika Abu Sufian, 26; dan Nur Elya Zahirah Abu Sufian, 6.

​Manakala pemandu Perodua Axia dikenali sebagai Che Sufri Rizaiman Che Wan Sulaiman, 49.

​"Kesemua mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Dungun untuk tindakan dan rawatan selanjutnya.

​"Pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.30 pagi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!