RXZ Members: JPJ tekankan pengurusan risiko, keselamatan peserta

PUTRAJAYA - Keperluan melaksanakan pengurusan risiko secara lebih sistematik sebelum, semasa dan selepas acara antara perkara yang diberi penekanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semasa sesi libat urus bersama penganjur RXZ Members.
Sesi libat urus itu dilaksanakan di Bahagian Penguatkuasa, Ibu Pejabat JPJ Putrajaya pada Rabu.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sesi ini menjadi platform strategik bagi membincangkan aspek keselamatan jalan raya serta langkah penambahbaikan dalam pengurusan risiko, khususnya bagi penganjuran acara permotoran berskala besar.
Menurutnya, antara perkara yang diberi penekanan oleh JPJ ialah keperluan melaksanakan pengurusan risiko secara lebih sistematik sebelum, semasa dan selepas acara.
"Ini termasuk aspek kelayakan pemandu dan kenderaan, kawalan pergerakan, pelaksanaan penguatkuasaan secara strategik dengan memberi keutamaan kepada kesalahan yang berisiko tinggi terhadap keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya.
"Selain itu, kerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam pelaksanaan Travel Time Advisory (TTA) membantu melancarkan aliran trafik dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, JPJ turut mengesyorkan pendekatan berperingkat melalui libat urus awal, pendidikan dan kesedaran, disusuli tindakan penguatkuasaan tegas apabila perlu.
Katanya, pihak penganjur diarahkan menyediakan platform pendaftaran peserta secara dalam talian dengan mewajibkan peserta mempunyai lesen memandu yang sah.
"Motosikal mesti mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans yang berkuat kuasa.
"Peserta juga perlu melampirkan empat keping gambar motosikal yang didaftarkan, iaitu gambar nombor plat depan, belakang, sisi kiri serta kanan," ujarnya.
Tambahnya, kerjasama erat antara penganjur, JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi teknikal berkaitan juga penting bagi memastikan penganjuran acara berlangsung secara teratur, selamat dan bertanggungjawab.
Jelas beliau, JPJ sentiasa menyokong aktiviti komuniti permotoran yang dilaksanakan secara teratur dan bertanggungjawab.
"Pada masa sama, keselamatan awam, pematuhan undang-undang dan perlindungan nyawa pengguna jalan raya akan terus menjadi keutamaan.
"JPJ juga akan mengadakan sesi libat urus bersama agensi-agensi berkaitan dan pihak penganjur pada masa akan datang," ujarnya.
Sesi libat urus itu turut dihadiri Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
