Seorang maut, 172 diselamatkan dalam kebakaran feri di Selat Lombok

Kepulan asap keluar daripada feri penumpang KMP Putri Yasmin selepas ia terbakar ketika dalam pelayaran di perairan Selat Lombok, Indonesia pada Rabu - Foto: AP
Kepulan asap keluar daripada feri penumpang KMP Putri Yasmin selepas ia terbakar ketika dalam pelayaran di perairan Selat Lombok, Indonesia pada Rabu - Foto: AP
A
A
A

JAKARTA - Sekurang-kurangnya seorang maut manakala 172 lagi diselamatkan selepas feri penumpang KMP Putri Yasmin terbakar di Selat Lombok, Indonesia awal Rabu.

Pejabat Mencari dan Menyelamat (SAR) Mataram mengesahkan jumlah korban itu dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ketuanya, Muhamad Hariyadi berkata, operasi SAR masih berjalan dan akan diteruskan sambil memastikan semua mangsa yang diselamatkan mendapat rawatan perubatan dan pengungsian segera.

"Fokus utama kami pada masa ini adalah untuk memastikan keselamatan semua penumpang dan anak kapal. Pasukan SAR terus meronda kawasan sekitar lokasi kejadian susulan kemungkinan terdapat mangsa lain yang belum diselamatkan.

"Kami juga sedang menyelaras secara intensif dengan semua pihak berkaitan untuk mempercepat proses tindak balas kecemasan,” katanya dalam kenyataan itu.

Kebakaran KMP Putri Yasmin dilaporkan pada jam 4.15 pagi waktu tempatan ketika kapal itu sedang belayar dari Pelabuhan Padang Bai di Bali ke Pelabuhan Lembar di Nusa Tenggara Barat, dengan Pejabat SAR Mataram menerima laporan kecemasan pada 4.39 pagi.

Operasi bersama itu melibatkan kapal penyelamat KN SAR 220 Mataram dan KN SAR Arjuna, helikopter SGi Air Bali, KMP Portlink II, KAL Lembar, kapal layar "No Comment” dan "Still Here”, serta bot laju polis, Rigid Inflatable Boat (RIB) dan Rigid Buoyancy Boat (RBB). - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!