Bas ekspres bawa sembilan penumpang rempuh belakang treler

Keadaan bas ekspres dan lori treler yang berlanggar di Kilometer 169.2 Lebuhraya Utara Selatan - Foto: PDRM
Keadaan bas ekspres dan lori treler yang berlanggar di Kilometer 169.2 Lebuhraya Utara Selatan - Foto: PDRM
A
A
A

BANDAR BAHARU - Bas ekspres yang membawa sembilan penumpang terlibat kemalangan dengan  treler di Kilometer (KM) 169.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, kira-kira 1 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Superintenden Mohamad Sani Mat Ali berkata, bas eskpres itu dalam perjalanan dari Alor Setar menuju Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu bas gagal mengawal kenderaan, sebelum melanggar bahagian belakang lori treler yang sedang mengubah haluan dari lorong perlahan ke lorong memotong.

"Lori treler itu membawa muatan paip besi dan dalam perjalanan dari Butterworth, Pulau Pinang menuju Shah Alam, Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Sani berkata, pemandu bas tidak mengalami kecederaan, manakala pemandu kedua bas mengalami kecederaan pada bahagian hidung dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang untuk rawatan.

"Enam penumpang bas yang cedera ringan dirawat di Hospital Sungai Bakap, manakala tiga lagi penumpang tidak mengalami kecederaan.

"Ujian saringan air kencing mendapati pemandu lori treler dan pemandu bas negatif dadah,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!