Hong Kong buka secara rasmi Pejabat Ekonomi dan Perdagangan di TRX

Anthony (dua dari kanan) dan Algernon (tiga dari kanan) memotong riben pada Majlis Perasmian Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong di TRX.
Anthony (dua dari kanan) dan Algernon (tiga dari kanan) memotong riben pada Majlis Perasmian Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong di TRX.
A
A
A

HONG KONG secara rasmi membuka Pejabat Ekonomi dan Perdagangan (HKETO) di Tun Razak Exchange (TRX) di ibu negara dalam memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan dan perniagaan antara Hong Kong dengan Malaysia dan negara ASEAN.

Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi Hong Kong, Algernon Yau berkata, pejabat itu memainkan peranan penting dalam memperluas hubungan ekonomi dan perdagangan Hong Kong dengan Malaysia, Brunei, Laos dan Pakistan.

Menurutnya, HKETO Kuala Lumpur merupakan pejabat ekonomi dan perdagangan luar negara ke-15 Kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) dan keempat di rantau ASEAN selepas Singapura, Jakarta dan Bangkok.

“HKETO Kuala Lumpur memikul tanggungjawab untuk memperdalam hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan Hong Kong dengan rantau yang mempunyai kepentingan strategik ini.

“Bersama Hong Kong Trade Development Council, Invest Hong Kong dan Hong Kong Tourism Board, HKETO Kuala Lumpur akan menerajui usaha membina hubungan lebih rapat antara kerajaan dengan kerajaan serta perniagaan dengan perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Rasmi HKETO Kuala Lumpur di Menara IQ TRX pada Selasa.

Majlis pembukaan itu turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Pengerusi Hong Kong Trade Development Council, Profesor Frederick Ma; Ketua Protokol Kementerian Luar, Duta Ikram Mohd Ibrahim dan Pengarah HKETO Kuala Lumpur, Owin Fung.

Algernon berkata, ASEAN merupakan rakan dagangan barangan kedua terbesar Hong Kong sejak 2010, manakala Malaysia kini menjadi rakan dagangan kelapan terbesar Hong Kong.

Beliau menambah, HKETO Kuala Lumpur turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala serta mewujudkan lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama.

Artikel Berkaitan:

"Ia termasuk kewangan dan teknologi kewangan (fintech), inovasi dan teknologi, perkhidmatan profesional, ekonomi hijau, logistik serta industri kreatif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penubuhan pejabat tetap berkenaan tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan penuh kerajaan Malaysia.

Katanya, pejabat HKETO Kuala Lumpur mula beroperasi pada Disember 2025 selepas cadangan penubuhannya diumumkan susulan lawatan Ketua Eksekutif Hong Kong ke Malaysia pada 2023.

“Masih sedar dalam ingatan ketika saya mengikuti Ketua Eksekutif melawat Malaysia pada 2023 dan apabila beliau mengumumkan pada 2024 rancangan untuk menubuhkan ETO baharu di Kuala Lumpur.

“Dalam tempoh kira-kira setahun, HKETO Kuala Lumpur mula beroperasi pada Disember 2025. Ini tidak mungkin dapat dilakukan tanpa sokongan dan restu penuh kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pejabat berkenaan juga akan menjadi penghubung penting dalam memudah cara perdagangan dan pelaburan dua hala selain membantu syarikat Hong Kong serta China berkembang ke pasaran antarabangsa.

HKETO Kuala Lumpur akan bekerjasama menerusi platform ‘Economic and Trade Express’ bersama Invest Hong Kong dan Hong Kong Trade Development Council bagi memimpin misi perniagaan serta membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula tempatan menembusi pasaran berpotensi tinggi.

Pada masa sama, pejabat berkenaan turut menyokong Task Force on Supporting Mainland Enterprises in Going Global bagi membimbing syarikat China yang ingin mengembangkan operasi mereka ke luar negara.

HKETO Kuala Lumpur dapat menjadi jambatan kukuh bagi mengeratkan persahabatan dan kemakmuran antara Hong Kong dengan Malaysia, Brunei, Laos dan Pakistan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!