Lebih lima lokasi di Kukup diarah henti aktiviti tambak, buang sisa binaan

PONTIAN – Lebih lima lokasi yang dikenal pasti menjalankan aktiviti penambakan dan pembuangan sisa binaan dipercayai dari Singapura di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup, di sini, diarahkan menghentikan aktiviti serta-merta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Md Israk Abdullah berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat penyelarasan di Pejabat Daerah Pontian susulan aduan berkaitan aktiviti penambakan sisa di lokasi berkenaan.
Menurutnya, antara perkara yang dipersetujui ialah pemilik tanah perlu menyediakan kemudahan yang sesuai bagi tujuan pelupusan sisa selaras dengan arahan dan keperluan SWCorp.
“SWCorp juga boleh mengambil tindakan lanjut di bawah Akta 672, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 sekiranya berlaku ketidakpatuhan, termasuk berkaitan pembuangan sisa pepejal terkawal di tempat yang tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan di lokasi penambakan sisa buangan yang dipercayai dari Singapura di Kampung Sungai Senai, Belokok, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau yang juga Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri berkata, Pejabat Tanah Daerah turut diminta meneliti pematuhan syarat nyata tanah, termasuk aspek zon guna tanah dan perancangan pembangunan di lokasi berkenaan.
“Selain itu, kita mahu tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti penambakan yang tidak terkawal, termasuk kerja tanah yang dijalankan tanpa kelulusan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.
“Pendekatan ini perlu dibuat secara bersama membabitkan SWCorp, Pejabat Tanah dan pihak berkuasa tempatan supaya aktiviti penambakan yang tidak terkawal ini dapat dihentikan,” katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan treler yang membawa sisa binaan dari Singapura menggunakan laluan Pekan Nanas- Tanjung Piai, sejak dua tahun lalu, didakwa menyebabkan rumah penduduk retak serta mengundang risiko kemalangan kepada penunggang motosikal.
Tambah Md Israk lagi, isu berkenaan akan dibawa kepada Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon untuk tindakan selanjutnya.
“Walaupun tanah berkenaan adalah tanah persendirian, pemilik masih tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa sekiranya aktiviti yang dijalankan melanggar syarat atau menimbulkan risiko kepada masyarakat dan alam sekitar.
“Kita mahu kepentingan penduduk diberi keutamaan dan tindakan penguatkuasaan dibuat secara menyeluruh supaya isu ini tidak berlarutan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Pontian, Mohd Farid Hassan berkata, pihaknya mengenal pasti lebih lima lokasi yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penambakan berkenaan di sekitar Kukup.
Menurutnya, antara lokasi yang dikenal pasti termasuk Kampung Sungai Karang, Kampung Sungai Senai dan Kampung Simpang Kiri.
“Buat masa ini kita mengenal pasti lebih lima kawasan dan kita akan melihat keseluruhan aspek berkaitan sebelum tindakan lanjut diambil.
“Kita akan menggunakan peruntukan undang-undang yang bersesuaian daripada SWCorp, Pejabat Tanah dan pihak berkuasa tempatan bagi mengawal aktiviti penambakan yang tidak terkawal ini,” katanya.
Mohd Farid berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti pemilik tanah yang terlibat sebelum sebarang tindakan susulan dibuat.
-
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

