Trofi eksklusif emas seberat 12.5kg menanti juara Piala Lee Chong Wei

Chong Wei bersama trofi pada majlis memperkenalkan trofi dan penyerahan tajaan pada Kejohanan Badminton Piala Lee Chong Wei 2026. - Bernama
Chong Wei bersama trofi pada majlis memperkenalkan trofi dan penyerahan tajaan pada Kejohanan Badminton Piala Lee Chong Wei 2026. - Bernama
A
A
A

TROFI eksklusif seberat 12.5 kilogram, setinggi 60 sentimeter, bersadur emas dan menampilkan imej Datuk Seri Dr Lee Chong Wei bakal menjadi rebutan pada edisi sulung Kejohanan Badminton Piala Lee Chong Wei (LCWC) dari 29 Ogos hingga 6 Sept ini.

Dihasilkan sepenuhnya dengan tangan daripada loyang gred premium dengan kemasan saduran emas dan tapak kayu jati padu, trofi itu diperkenalkan dalam majlis ringkas tetapi penuh bermakna di sini hari ini.

Bertemakan "Perjalanan Menuju Kecemerlangan & Mencetus Inspirasi Juara”, rekaannya diinspirasikan daripada perjalanan karier Chong Wei serta nilai keazaman, disiplin, rendah diri dan ketahanan.

Selain imej Chong Wei, bentuk lengkung trofi melambangkan momentum dan ketahanan manakala motif raket serta jaring menggambarkan ketepatan, penguasaan teknikal dan fokus.

Bulu tangkis tiga dimensi yang menghala ke atas pula melambangkan aspirasi pemain muda untuk mencapai tahap tertinggi dalam sukan itu, sekali gus melengkapkan keunikan trofi itu.

Chong Wei yang juga pengasas LCWC berkata penganjuran kejohanan itu menjadi impiannya dalam usaha melahirkan generasi baharu pemain badminton negara dan membawa mereka ke tahap lebih tinggi.

"Piala ini adalah impian dan juga semangat saya. Saya ingin membantu membangunkan generasi muda Malaysia dan membawa mereka ke tahap yang berbeza.

"Ini juga cara saya untuk menyumbang semula kepada negara dan persatuan. Saya menghabiskan 19 tahun bersama pasukan kebangsaan, jadi saya ingin menyumbang kembali dan membantu membina generasi akan datang,” kata Chong Wei pada sidang media Majlis Memperkenalkan Trofi LCWC 2026 di sini.

LCWC mempertandingkan kategori Bawah 13, Bawah 15 dan Bawah 17 Tahun dalam perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran.

Artikel Berkaitan:

Hadiah wang tunai keseluruhan RM100,000 ditawarkan, yang menurut penganjur adalah ganjaran paling lumayan bagi kejohanan badminton remaja di Malaysia.

Kejohanan itu turut menggunakan sistem kiraan mata 15x3 yang dijadualkan dilaksanakan secara rasmi dalam Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tahun depan.

Chong Wei pernah menghuni ranking nombor satu dunia selama 349 minggu, termasuk 199 minggu berturut-turut dari 2008 hingga 2012, selain meraih tiga pingat perak Sukan Olimpik dan 69 gelaran BWF.

 

 

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!