Perkembangan semasa parti alasan Exco Perlis letak jawatan AJK Bersatu Arau

Megat Hashirat berkata, keputusannya dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa parti dan melalui pertimbangan sewajarnya.
Megat Hashirat berkata, keputusannya dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa parti dan melalui pertimbangan sewajarnya.
A
A
A

KANGAR - Perkembangan semasa parti dan hala tuju kepimpinan menjadi antara pertimbangan Exco Perlis, Megat Hashirat Hassan meletakkan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Arau.

Peletakan jawatan itu berkuat kuasa 10 Ogos dan disahkan Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah yang juga Menteri Besar Perlis.

Berdasarkan surat rasmi tersebut, yang ditujukan kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Megat Hashirat berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa parti dan melalui pertimbangan sewajarnya.

“Setelah menilai keadaan serta hala tuju kepimpinan parti pada masa ini, saya merasakan bahawa keputusan untuk berundur daripada jawatan merupakan langkah yang paling wajar,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh berkata, keputusan tersebut dibuat atas pendirian dan pertimbangan peribadinya sendiri.

Menurutnya, keputusan itu dibuat tanpa menafikan segala pengalaman, kerjasama dan kepercayaan yang diberikan sepanjang menjalankan amanah dalam Bersatu Bahagian Arau.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh kepimpinan serta ahli Bersatu Bahagian Arau atas segala kerjasama yang telah diberikan.

“Saya berharap keputusan ini dapat diterima dan diambil maklum oleh pihak parti,” ujarnya.

Megat Hashirat antara pemimpin Bersatu di Perlis yang memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Kesihatan, Keusahawanan dan Koperasi, serta Alam Sekitar negeri.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Abu Bakar turut melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu bagi memberi tumpuan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, namun menegaskan beliau kekal sebagai ahli parti serta memegang jawatan Ketua BPN Bersatu Perlis dan Ketua Bersatu Bahagian Kangar.

Seorang lagi Exco Perlis, Marzita Mansor turut diilaporkan melepaskan jawatan sebagai ahli MPT Bersatu pada Julai lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!