[VIDEO] Tanah pertanian jadi pusat sisa haram, lima tahun beroperasi tanpa lesen

A
A
A

JOHOR BAHRU – Premis barangan lusuh di Jalan Kempas Lama-Seelong di sini, didapati beroperasi secara haram di atas tanah yang sepatutnya digunakan bagi tujuan pertanian sejak lima tahun lalu.

Lebih mengejutkan, kira-kira 300 ekor ayam turut ditemui di sebuah tapak yang dipercayai dijadikan lokasi pengumpulan sisa dan aktiviti pembakaran terbuka sehingga menimbulkan kerisauan 10,000 penduduk di empat kampung berdekatan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mohd Jafni Md Shukor berkata, pemeriksaan di tapak seluas kira-kira 3.6 hektar itu mendapati pelbagai jenis sisa termasuk sisa basah dan bahan binaan dikumpulkan secara bercampur sebelum dipercayai dibakar.

Operasi bersepadu di premis pelupusan sisa pepejal di Jalan Kempas Lama-Seelong.
Operasi bersepadu di premis pelupusan sisa pepejal di Jalan Kempas Lama-Seelong.

Menurutnya, hasil semakan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapati tiada lesen dikeluarkan bagi membolehkan aktiviti pengumpulan atau pengurusan sisa dijalankan di kawasan berkenaan.

“Tanah ini asalnya berstatus pertanian dan kita anggap ia digunakan untuk aktiviti pertanian, tetapi apa yang berlaku sekarang ialah pengumpulan sampah dan sisa pekerjaan.

“Sisa itu pula bercampur-campur, termasuk sisa basah dan bahan binaan. Kalau dia ada lesen sekali pun, dia mungkin sudah melanggar syarat,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi bersepadu pada Selasa.

Dalam pada itu, aktiviti pembakaran terbuka di kawasan berkenaan turut diberi perhatian selepas didakwa dilakukan pada waktu malam sehingga asap merebak ke kawasan penduduk berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Lebih membimbangkan, lokasi berkenaan berada kira-kira 150 meter dari laluan gas milik Petronas Gas Berhad (PGB), namun pemeriksaan teknikal syarikat berkenaan mengesahkan keadaan saluran gas adalah selamat.

Ujarnya, pemeriksaan bersepadu dilakukan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan, Pejabat Tanah, polis dan Petronas bagi menyiasat status premis, tanah serta tahap keselamatan di lokasi berkenaan.

“Daripada laporan siasatan teknikal Petronas, keadaan setakat ini adalah selamat dan tidak berlaku sebarang perkara yang membahayakan saluran paip gas.

“Bagaimanapun, kita akan tutup kawasan ini sepenuhnya untuk keselamatan penduduk sekitar,” katanya.

Beliau berkata, semakan pihak berkuasa tempatan mendapati tiada lesen dikeluarkan bagi membolehkan aktiviti berkenaan dijalankan di premis terbabit.

Mohd Jafni (tiga dari kanan) meninjau tapak pelupusan sisa pepejal di Jalan Kempas- Seelong.
Mohd Jafni (tiga dari kanan) meninjau tapak pelupusan sisa pepejal di Jalan Kempas- Seelong.

Menurutnya, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) turut menjalankan siasatan dan tindakan akan diambil mengikut Seksyen 75(5) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

“Jika didapati bersalah, pesalah boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Pihak SWCorp sudah menyediakan kertas siasatan dan dalam tempoh tiga bulan ia akan dihantar untuk tindakan pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata, Pejabat Tanah turut diminta mengeluarkan notis dan mengambil tindakan terhadap pemilik tanah dipercayai warga Singapura selepas mendapati bayaran tanah berkenaan dipercayai tertunggak selama tiga tahun.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!