Empat direman disyaki lakukan pembakaran terbuka berhampiran paip gas

JOHOR BAHRU – Empat individu termasuk penyewa premis kitar semula barangan lusuh yang beroperasi secara haram di Jalan Kempas Lama-Seelong di sini direman bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, penyewa premis yang merupakan warga tempatan direman selama empat hari bermula Isnin.
Menurutnya, tiga pekerja warga Bangladesh pula direman selama 14 hari bermula Isnin hingga 23 Ogos.
“Pihak polis telah menahan empat orang, iaitu seorang warganegara Malaysia dan tiga warganegara Bangladesh.
“Warganegara Malaysia itu ditahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959, manakala warga Bangladesh ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi premis berkenaan pada Selasa.
Radin Ramlan berkata, ketiga-tiga warga asing berusia antara 31 hingga 40 tahun itu didapati tidak mempunyai permit.
Beliau berkata, premis berkenaan menjadi perhatian selepas didakwa menjalankan aktiviti pembakaran terbuka selain beroperasi berhampiran saluran paip gas Petronas.
“Polis mengambil serius perkara ini kerana lokasi berkenaan berhampiran saluran paip gas dan boleh menimbulkan risiko keselamatan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Sebelum ini, lebih 10,000 penduduk daripada empat kampung di kawasan Kempas Lama dilaporkan terpaksa menghidu bau busuk hampir setiap malam susulan aktiviti di premis berkenaan.
Penduduk turut melahirkan kebimbangan terhadap aktiviti pembakaran terbuka yang didakwa berlaku di kawasan tersebut, terutama kerana jaraknya yang dekat dengan saluran paip gas.
Kebimbangan itu turut dikaitkan dengan kejadian letupan paip gas di Putra Heights, Selangor, tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

