Rekod pertembungan DAP-Pas dedahkan perbezaan pendirian terhadap Islam

No Image Caption
A
A
A

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam penulisannya bertajuk “DAP Memimpin PH Menyambung Kerja Penjajah Hapuskan Melayu Islam” menyatakan bahawa “...Pas bertindak membatalkan tahaluf apabila DAP melampaui perkara dasar Islam dan hukumnya.

Malah, DAP juga turut menentang secara terbuka perjuangan negara Islam dan pelaksanaan syariat bagi penganut Islam di negeri-negeri bawah kerajaan Pas dan menentang usaha Pas melalui Parlimen”.

Jelas beliau, “...DAP yang mendominasi Pakatan Harapan secara terbuka itu mendedahkan perjuangan sekularismenya yang ekstrem dan konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkannya”.

Beliau menambah, “Tercetusnya kenyataan dan tindakan yang secara terbuka mencabar kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, memperlekehkan kedudukan Raja-raja Melayu yang dihilangkan kedaulatannya oleh penjajah, melemahkan kedudukan bahasa Melayu yang dinobatkan menjadi Bahasa Kebangsaan, membela golongan yang murtad dalam kalangan penganut Islam dan memberi tekanan kepada mereka yang memeluk Islam, serta menentang langkah pelaksanaan syariat oleh beberapa buah kerajaan negeri.”

Kenyataan berterus terang dalam siri Minda Presiden Pas bertarikh 8 Ogos 2026 ini sekali lagi mencetuskan perdebatan hangat mengenai hubungan DAP dengan Pas dan sikap parti itu terhadap Islam walaupun ia sebenarnya bukanlah satu fenomena yang baru muncul dalam politik Malaysia.

Hal ini mempunyai sejarah lebih dua dekad dan yang penting, sebahagian besar pertentangan itu dapat dilihat melalui dokumen dan kenyataan rasmi DAP sendiri.

Bukti paling jelas ialah sejarah Barisan Alternatif (BA). DAP sendiri merekodkan bahawa parti itu meninggalkan BA pada 22 September 2001 selepas gagal mencapai persetujuan dengan Pas mengenai gagasan negara Islam.

Dalam penjelasan rasminya setahun kemudian, DAP menyatakan bahawa ia tidak akan berkompromi dengan prinsip bahawa Malaysia harus kekal sebagai negara demokratik sekular.

Peristiwa tersebut penting kerana ia menunjukkan bahawa pertentangan DAP-Pas bukan sekadar perselisihan peribadi antara pemimpinnya, tetapi pertembungan asas mengenai sifat negara ini.

Artikel Berkaitan:

Pas melihat Islam dan pelaksanaan syariat sebagai sebahagian daripada identiti negara dan perjuangannya sedangkan DAP secara rasmi meletakkan antara objektif utamanya iaitu untuk memperkukuh Perlembagaan Malaysia dalam rangka kerja yang disifatkan sebagai “original secular framework” sebagai undang-undang tertinggi negara.

Justeru, apabila DAP meninggalkan BA pada 2001, adalah kurang tepat untuk menggambarkannya sebagai Pas “mengkhianati” kerjasama tersebut.

Sumber DAP sendiri mengakui bahawa keputusan keluar daripada BA itu dibuat kerana perbezaan yang tidak dapat dikompromi mengenai negara Islam. Kedua-dua parti memilih mempertahankan prinsip masing-masing.

Pertembungan yang sama berulang dalam Pakatan Rakyat (PR) lebih sedekad kemudian. Pada 2014, pemimpin DAP termasuk mendiang Karpal Singh secara terbuka mempertikaikan pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah di Kelantan dengan menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai alasan.

DAP juga menegaskan bahawa kepimpinannya tidak pernah bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui Pas.

Kemuncaknya pada 23 Mac 2015, Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP membuat keputusan sebulat suara memutuskan hubungan dengan Presiden Pas.

Dalam keputusan itu, DAP secara khusus menegaskan bahawa parti tersebut menolak pelaksanaan hudud kerana menganggapnya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ini menunjukkan bahawa penentangan terhadap agenda memartabatkan syariat Islam yang diperjuangkan oleh Pas bukan episod terpencil, tetapi pendirian konsisten DAP.

Selepas Muktamar Pas pada Jun 2015 menerima usul memutuskan hubungan dengan DAP tetapi ia diserah untuk diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak, DAP terus sahaja mengumumkan bahawa PR telah tidak lagi wujud.

Rekod ini menunjukkan bahawa keruntuhan PR sememangnya berpunca daripada penolakan DAP terhadap syariat Islam.

Selain pertikaian mengenai syariat dan negara Islam, beberapa kenyataan pemimpin DAP turut menjadi bahan perdebatan mengenai batas peranan agama dalam ruang awam.

Pada 2005 misalnya, Dr. Tan Seng Giaw membawa ke Dewan Rakyat aduan penduduk mengenai kelantangan azan Subuh.

Pada 2013 pula, DAP membantah cadangan menjadikan Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) sebagai mata pelajaran wajib kepada pelajar institusi pengajian tinggi swasta dengan alasan ia sepatutnya bersifat elektif.

Pada 2014, Ngeh Koo Ham pula berhujah bahawa hak kebebasan beragama dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan perlu turut dihormati dalam konteks individu Muslim, satu tafsiran yang menimbulkan pertikaian kerana hal keluar agama bagi orang Islam mempunyai dimensi perlembagaan dan undang-undang Islam yang tersendiri di Malaysia.

Apabila episod-episod tersebut dibaca bersama, adalah munasabah untuk mengatakan bahawa terdapat perbezaan ideologi yang nyata mengenai kedudukan dan ruang pelaksanaan Islam dalam negara, khususnya antara tafsiran Pas dengan pendekatan sekular DAP.

Perbezaan itu bukanlah direka-reka hanya selepas hubungan kedua-duanya putus sebaliknya ia sendiri pernah menjadi sebab dua kerjasama politik besar mengalami krisis.

Dalam Perlembagaan DAP juga tiada peruntukan untuk mempertahankan Raja Berperlembagaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di bawah Perkara 153 serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Kesimpulannya, rekod sejarah membuktikan bahawa pertentangan DAP-Pas mengenai Islam adalah nyata dan telah dua kali memberi kesan besar terhadap kerjasama politik mereka.

BA pada 2001 dan PR pada 2015 menunjukkan bahawa apabila persoalan pelaksanaan Islam mencapai tahap prinsip, Pas dan DAP berulang kali berada di sisi yang berbeza.

Objektif DAP mengenai rangka kerja sekular serta kenyataan dan tindakan para pemimpinnya mengenai syariat dan peranan agama Islam dalam ruang awam adalah bukti jelas kebenaran dan ketepatan kenyataan Abdul Hadi.

*** Mohd Harun Esa ialah Ketua Penerangan Pas Terengganu

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!