Anwar semakin pulih, ikuti bahas RCI Tabung Haji

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin pulih selepas menjalani prosedur pembedahan laparoskopi bagi merawat hernia perut dan kini terus menjalani rawatan fisioterapi di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan, Anwar memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam Sidang Khas bagi membahaskan Laporan RCI Tabung Haji dan mendoakan agar persidangan berjalan lancar.
"Beliau akan mengikuti perbahasan secara dekat demi memastikan amanah institusi umat Islam ini terus dipelihara," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri mengesahkan Anwar dijangka menjalani prosedur perubatan selama dua hari.
Dalam pada itu, Anwar mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan dan keafiatan beliau serta atas ingatan dan ucapan sempena ulang tahun kelahiran ke-79 pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

