Sungai-sungai utama Eropah kian mengering

Kawasan dasar sungai mula kelihatan akibat penyusutan paras air di Sungai Loire, Perancis.
Kawasan dasar sungai mula kelihatan akibat penyusutan paras air di Sungai Loire, Perancis.
A
A
A

BERLIN - Sungai Rhine mencatatkan penyusutan paras air ke tahap terendah dalam sejarah di beberapa lokasi di Jerman dan Belanda apabila gelombang haba berterusan melanda Eropah.

Bacaan paras air di Cologne dan Lobith sepanjang minggu lalu menunjukkan penurunan ketara berbanding catatan terdahulu.

Beberapa sungai utama Eropah yang menjadi nadi kepada sektor pengangkutan, industri dan pertanian turut terjejas termasuk Sungai Danube yang mengalir merentasi 10 negara serta Sungai Po di Itali.

Loji janakuasa nuklear Paks yang terletak di tebing Sungai Danube, Hungary yang semakin menyusut.
Loji janakuasa nuklear Paks yang terletak di tebing Sungai Danube, Hungary yang semakin menyusut.

Menurut Pusat Pemantauan Kemarau Kesatuan Eropah (EU), keadaan kemarau kekal kritikal di kebanyakan kawasan Eropah dan semakin buruk di bahagian tengah serta barat rantau itu sejak pertengahan Julai.

Gelombang haba ekstrem dijangka berterusan untuk kira-kira seminggu lagi dengan suhu mencecah lebih 40 darjah Celsius di beberapa negara Eropah Tengah dan Selatan.

Sistem Maklumat Paras Air Rendah Jerman (NIWIS) memaklumkan bahawa sebanyak 44 peratus stesen pengukuran di Sungai Rhine dan 78 peratus stesen di Sungai Danube merekodkan penurunan paras air yang ketara.

Artikel Berkaitan:

Kesan kemarau dapat dilihat dengan ketara di Pelabuhan Rheinauhafen di Cologne, Jerman.
Kesan kemarau dapat dilihat dengan ketara di Pelabuhan Rheinauhafen di Cologne, Jerman.

Rhine yang bermula di Banjaran Alps Switzerland dan mengalir ke Laut Utara merupakan salah satu laluan air paling sibuk di Eropah. Penurunan paras air secara mendadak telah menimbulkan kebimbangan terhadap kesan ekonomi akibat keperluan mengehadkan pelayaran dan aktiviti perkapalan.

Pada minggu lalu, paras air Sungai Danube turut jatuh ke tahap terendah dalam tempoh 30 tahun di beberapa negara termasuk Serbia dan Romania hingga memaksa Hungary menutup satu-satunya loji kuasa nuklear miliknya.

"Kami berharap ia dapat beroperasi semula secepat mungkin selain mengharapkan hujan yang dapat meredakan cuaca panas dan kemarau teruk ini," kata Perdana Menteri, Peter Magyar.

Kemarau di Sungai Danube telah menyebabkan gangguan serius terhadap bekalan elektrik di Serbia dan Romania.

Sungai Po turut mencatatkan paras air terendah dalam sejarah pada akhir Julai. Susulan ancaman itu, pihak berkuasa telah menaikkan tahap amaran kemarau di seluruh Lembah Po manakala pakar memberi amaran tentang kemungkinan gangguan terhadap bekalan air minuman.

Aliran yang semakin berkurangan di muara Po juga menyebabkan air masin dari laut memasuki dasar sungai, sekali gus mengganggu ekosistem dan menimbulkan masalah serius kepada petani yang bergantung kepada sumber tersebut untuk mengairi tanaman mereka.

Paras air Sungai Rhine yang semakin surut menyebabkan kawasan sekitar Menara Mouse di Bingen, Jerman, kelihatan lebih cetek
Paras air Sungai Rhine yang semakin surut menyebabkan kawasan sekitar Menara Mouse di Bingen, Jerman, kelihatan lebih cetek

Paras air tasik yang semakin susut akibat kemarau berpanjangan dikhuatiri menjejaskan ketersediaan sumber air tawar untuk kegunaan harian.

Perkhidmatan iklim Copernicus menyatakan bahawa kemarau pada 2022 menyumbang kepada peningkatan kebakaran hutan di Eropah yang menyebabkan pelepasan karbon melebihi paras purata.

Risiko sama kembali meningkat tahun ini susulan keadaan kering dan gelombang haba yang berterusan di rantau tersebut. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!