Malaysia sambar tiket final Piala Raja Thai

SKUAD sepak takraw negara mara ke final Piala Raja Thai 2026 selepas menundukkan Indonesia 2-0 pada separuh akhir acara regu berpasukan lelaki di Fashion Island Mall, Bangkok di sini, malam ini.
Kemenangan itu melengkapkan rentak sempurna Malaysia selepas terlebih dahulu menewaskan Vietnam 2-1, sekali gus mengesahkan pertemuan dengan Indonesia bagi perebutan tiket ke final.
Berbekalkan momentum berkenaan, skuad negara tampil kemas untuk menamatkan cabaran Indonesia menerusi dua kemenangan berturut-turut, tanpa perlu menurunkan regu ketiga.
Regu pertama yang dibarisi Zarif Marican Ibrahim, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Kamarul Ezzad Kamarul Imran membuka tirai dengan kemenangan 15-13, 15-9.
Regu negara kemudian terus menekan apabila regu kedua yang menampilkan Muhammad Haziq Hairul Nizam, Hafizul Hayazi Adnan dan Zuleffendi Sumari menundukkan lawan 15-10, 15-8 untuk mengesahkan kemenangan 2-0.
Kemenangan itu membawa Malaysia ke perlawanan akhir untuk berdepan tuan rumah Thailand, sekali gus membuka peluang skuad negara memburu kejuaraan pada edisi ke-39 kejohanan berprestij berkenaan.
Perlawanan akhir dijadualkan berlangsung jam 2 petang, esok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
