Penjaja di Sendayan dilarang berniaga

Zazali Salehudin (dua dari kanan) semasa membuat tinjauan di Pasar Rasah Jaya di sini hari ini.
Zazali Salehudin (dua dari kanan) semasa membuat tinjauan di Pasar Rasah Jaya di sini hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Semua penjaja di sekitar Sendayan tidak dibenarkan berniaga sepanjang tempoh fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Zazali Salehudin berkata, ini kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menemui kluster baharu di Sendayan berikutan 39 orang disahkan positif Covid-19.

"Disebabkan itu, kita mengambil keputusan untuk tidak membenarkan penjaja menjalankan sebarang jenis perniagaan di sekitar Sendayan termasuk penjaja makanan kecuali mereka yang berniaga dalam premis.

"Kita bukan mahu menyusahkan penjaja, tetapi mereka perlu mengetahui bahawa tindakan itu diambil bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di kawasan tersebut.

"Kalau ada yang berniaga kita khuatir orang ramai akan keluar rumah, jadi kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak benarkan semua penjaja berniaga di Sendayan," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, bagi kawasan lain, hanya penjaja makanan sahaja dibenarkan berniaga manakala penjaja yang menjual minuman, barangan basah seperti ayam, ikan, buah-buahan dan sayur tidak dibenarkan berniaga dalam kawasan MBS sepanjang tempoh PKP.

"Orang ramai dinasihatkan supaya memberi barang keperluan tersebut di pasar aya, pasar atau di pusat jualan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memastikan tahap kebersihan jualan produk tersebut sentiasa dipatuhi," katanya.

Tambahnya, mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk gantung lesen dan menyita barang bagi mereka yang tidak mempunyai lesen perniagaan.

Dalam pada itu, Zazali berpuas hati dengan pematuhan orang ramai terhadap langkah-langkah kawalan keselamatan yang diambil di semua pasar basah.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai mula akur dengan pemeriksaan suhu badan dan penjarakkan sosial yang dilaksanakan oleh anggota penguatkuasa MBS," katanya.