'Tidak semua pertikaian politik perlu dibawa ke mahkamah' - Ahmad Fadhli ulas cabaran Aiman Athirah

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mengingatkan bahawa tidak semua pertikaian politik perlu dibawa ke mahkamah.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada cabaran Ketua Wanita Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Aiman Athirah Sabu supaya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang membawa DAP ke mahkamah jika benar parti itu mengancam kedudukan Melayu dan Islam.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, persoalan utama perlu dijawab ialah sama ada setiap pertikaian mengenai ideologi, dasar dan hala tuju sesebuah parti politik mesti terlebih dahulu dibuktikan sebagai kesalahan di mahkamah sebelum boleh diperdebatkan dalam ruang demokrasi.
Beliau berpandangan, mahkamah bukan satu-satunya medan untuk menentukan sesuatu isu berkaitan politik, ideologi atau dasar.
"Demokrasi tidak mensyaratkan semua pertikaian politik perlu diselesaikan melalui mahkamah. Ada perkara yang perlu diputuskan oleh hakim, ada yang berada di bawah bidang kuasa Pendaftar Pertubuhan dan ada juga yang sewajarnya diputuskan melalui perbahasan terbuka berdasarkan dokumen, rekod, dasar serta jawapan substantif daripada pihak yang dipersoalkan.
“Dalam isu ini, cabaran ‘samanlah jika benar’ tidak menamatkan perdebatan, sebaliknya hanya mengalihkan perhatian daripada persoalan pokok yang masih terus diperdebatkan,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan Aiman Athirah mencabar Pas dan Abdul Hadi untuk mengemukakan bukti dan mengheret DAP ke mahkamah jika betul parti itu serta PH menjadi ancaman kepada Melayu Islam.
Ahmad Fadhli memaklumkan, seorang tokoh perundangan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dalam ulasannya mengenai kontroversi itu turut mengingatkan bahawa tidak semua persoalan politik, ideologi atau dasar yang dipertikaikan boleh diterjemahkan menjadi kesalahan jenayah.
“Mahkamah menentukan kes berdasarkan cause of action, peruntukan undang-undang, bidang kuasa dan bukti. Ia bukan tribunal umum untuk menentukan sama ada ideologi sesebuah parti itu mesra atau tidak mesra terhadap sesuatu agama atau kelompok masyarakat,” ujarnya lagi.
Justeru, beliau memberitahu, cabaran supaya Abdul Hadi membawa perkara itu ke mahkamah tidak menjawab kritikan yang dibangkitkan pemimpin Pas berkenaan.
"Dalam tulisan beliau pada Sabtu, Abdul Hadi mengaitkan pendiriannya dengan sejarah kerjasama Pas-DAP, pertikaian mengenai negara Islam dan pelaksanaan syariah, kedudukan Islam dalam Perlembagaan serta fahaman sekularisme dan Malaysian Malaysia.
"Sama ada seseorang bersetuju atau tidak dengan tafsirannya, perkara-perkara tersebut merupakan persoalan politik dan perlembagaan yang boleh dinilai melalui dokumen, kenyataan, rekod pengundian dan tindakan parti, bukan semata-mata melalui tindakan mahkamah," ujarnya lagi.
Beliau turut mempersoalkan konsistensi pihak yang mengemukakan cabaran berkenaan kerana pemimpin Amanah dan DAP sebelum ini juga pernah melabel Pas sebagai ekstrem, konservatif dan keras dalam pendekatan politik tanpa terlebih dahulu membawa perkara tersebut ke mahkamah.
“Jika pihak lain dibenarkan menilai Pas berdasarkan kenyataan pemimpin, pendirian parti, rekod tindakan dan kecenderungan ideologinya tanpa perlu terlebih dahulu mendapatkan penghakiman mahkamah, maka prinsip yang sama juga sewajarnya terpakai kepada DAP.
“Jika tidak, akan timbul keadaan yang memperlihatkan wujudnya dua ukuran berbeza, iaitu satu ukuran untuk PAS dan satu lagi ukuran untuk DAP,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan Fasal II Perlembagaan DAP yang antara lain menyatakan objektif parti untuk memperkukuh Perlembagaan Malaysia dalam rangka kerja sekular asalnya.
“Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan rangka kerja sekular itu dan bagaimanakah ia ditafsirkan dalam konteks kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan?” katanya.
Beliau turut mengingatkan, persepsi terhadap DAP berkaitan isu Melayu dan Islam juga bukan perkara baharu, malah pernah tercetus dalam beberapa polemik sebelum ini.
Ahmad Fadhli berkata, tindakan Aiman Athirah menjawab isu tersebut bagi pihak DAP turut mengukuhkan persepsi dalam kalangan sebahagian pihak bahawa pemimpin Amanah lebih cenderung mempertahankan kepentingan DAP berbanding memberikan penjelasan yang bersifat bebas dan objektif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

