Titik panas baharu dikesan di Gunung Bromo

JAKARTA – Kebakaran di Taman Negara Gunung Bromo, Jawa Timur di Indonesia yang berjaya dikawal sepenuhnya, namun beberapa titik panas baharu dikesan berhampiran kawah gunung berapi itu.
Ketua Agensi Pengurusan Bencana Tempatan, Gatot Soebroto berkata, kebakaran yang bermula pada 3 Ogos itu telah memusnahkan kira-kira 550 hektar kawasan Taman Negara Bromo Tengger Semeru berhampiran Gunung Bromo, Probolinggo.
Bagaimanapun, pihak berkuasa mengesan kebakaran baharu di sekitar kawah Bromo melibatkan kawasan seluas kira-kira 20 hektar.
“Api di sekitar kawah dijangka merebak lebih jauh pada Isnin,” ujarnya.
Lebih 120 anggota, tiga helikopter pengebom air, dron bersama beberapa jentera bomba dikerahkan bagi memadam kebakaran di sekitar kawasan kawah.
Menurutnya, punca kebakaran masih disiasat dan pihak berkuasa mengesyaki ia berpunca daripada kecuaian manusia.
“Individu berkenaan mungkin menyalakan api, tetapi ia gagal dipadamkan,” katanya.
Kesimpulan awal itu dibuat selepas api pertama dikesan di sepanjang laluan yang sering digunakan pengunjung.
Taman Negara Gunung Bromo yang meliputi kawasan lebih 50,000 hektar terkenal dengan gunung berapi aktif dan kawasan kaldera yang dikenali sebagai ‘lautan pasir’.
Ia bagaimanapun ditutup kepada pengunjung sejak petang Sabtu lalu susulan kebakaran yang semakin merebak. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

