Api makin marak, akses ke Gunung Bromo ditutup sepenuhnya

JAKARTA - Taman Nasional Bromo Tengger Semeru di Jawa Timur, Indonesia ditutup kepada semua aktiviti pelancongan susulan kebakaran hutan yang berlaku sejak awal minggu lalu dan kini merebak di kawasan kaldera Gunung Bromo.
Penutupan itu berkuat kuasa pada petang Sabtu sehingga tempoh yang belum ditetapkan berikutan api masih marak dan telah memusnahkan kira-kira 176 hektar kawasan di Bromo yang merupakan destinasi pelancongan popular. Kebakaran hutan itu dilaporkan terus merebak sejak Khamis lalu.
"Langkah segera perlu diambil bagi memastikan keselamatan pengunjung, kakitangan dan penduduk sekitar," menurut pengendali taman itu.
Pengunjung yang telah membeli tiket diberi pilihan untuk menjadualkan semula hari lawatan atau mendapatkan bayaran balik.
Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Jawa Timur mengesahkan pihak berkuasa telah mengerahkan helikopter pengebom air dan dron bagi membantu usaha mengawal api.
Punca kebakaran masih belum dikenal pasti dan tiada kematian atau kecederaan dilaporkan setakat ini. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

