Penyalahgunaan dadah babit kanak-kanak usia 10 hingga 14 tahun amaran serius kepada negara- Lee Lam Thye

SHAH ALAM- Peningkatan kes penyalahgunaan dadah melibatkan kanak-kanak seawal usia 10 hingga 14 tahun seperti yang dilaporkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) membimbangkan dan dianggap sebagai amaran serius kepada negara.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, apabila kanak-kanak di peringkat awal remaja sudah terdedah kepada dadah, negara tidak lagi berdepan masalah yang hanya melibatkan golongan dewasa atau belia, sebaliknya ancaman serius terhadap masa depan anak-anak, keluarga dan masyarakat.
"Statistik yang dilaporkan di beberapa negeri seharusnya mendorong kita bertanya satu soalan asas, bagaimanakah kanak-kanak yang begitu muda boleh mendapat akses kepada dadah?
"Tiada satu punca tunggal yang boleh dipersalahkan. Penyalahgunaan dadah dalam kalangan kanak-kanak boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti keadaan keluarga, tekanan rakan sebaya, persekitaran yang tidak sihat, perasaan ingin mencuba, masalah emosi dan pengaruh individu atau kumpulan yang lebih dewasa," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Ujarnya, ibu bapa mempunyai peranan amat penting kerana tanggungjawab keibubapaan hari ini tidak boleh hanya tertumpu kepada menyediakan makanan, pendidikan dan keperluan material.
Menurutnya, golongan itu perlu mengetahui dengan siapa anak-anak mereka berkawan, di mana mereka menghabiskan masa, apa yang mereka lakukan di alam siber dan di luar rumah serta peka terhadap perubahan tingkah laku, emosi dan pergaulan mereka.
"Namun, kita juga tidak boleh hanya menyalahkan ibu bapa, ada keluarga yang memerlukan sokongan, khususnya apabila ibu bapa bekerja dalam tempoh yang panjang atau berhadapan dengan tekanan kewangan, keluarga dan emosi.
"Oleh itu, tanggungjawab ini mesti dipikul secara bersama oleh keluarga, sekolah, masyarakat, agensi penguat kuasa dan kerajaan," ujarnya.
Lee berkata, pengaruh rakan sebaya juga merupakan aspek yang amat penting dan tidak boleh dipandang ringan kerana kanak-kanak pada usia berkenaan mudah dipengaruhi atau didesak oleh rakan serta golongan lebih tua untuk mencuba dadah.
Justeru katanya, pengaruh positif rakan sebaya perlu diperkukuh dengan melibatkan golongan muda sebagai ejen perubahan dan contoh kepada rakan-rakan mereka untuk mengamalkan gaya hidup sihat serta bebas daripada dadah.
"Sekolah juga perlu memperkukuh usaha pencegahan dan pengesanan awal. Guru dan kaunselor perlu dilengkapi dengan pengetahuan serta kemahiran untuk mengenal pasti tanda-tanda awal dan mengambil tindakan sebelum percubaan mengambil dadah berkembang menjadi ketagihan.
"Pendidikan antidadah pula tidak seharusnya hanya memberitahu kanak-kanak bahawa dadah itu berbahaya.
"Mereka juga perlu diajar bagaimana menolak tekanan rakan sebaya, membuat keputusan yang betul dan mendapatkan bantuan apabila menghadapi masalah," katanya.
Beliau berkata, AADK bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekolah, pihak kesihatan dan pertubuhan masyarakat perlu mempergiatkan program pencegahan di kawasan yang menunjukkan peningkatan penglibatan kanak-kanak dalam penyalahgunaan dadah.
Katanya, intervensi awal jauh lebih baik daripada menunggu sehingga seseorang kanak-kanak menjadi penagih dan memerlukan pemulihan.
"Pada masa yang sama, kita perlu melihat dengan serius bagaimana dadah boleh sampai ke tangan kanak-kanak.
"Jika kanak-kanak berusia 10 atau 12 tahun boleh mendapatkan dadah, kita perlu bertanya siapa yang membekalkannya dan sama ada rangkaian jenayah sengaja menyasarkan golongan kanak-kanak yang mudah dipengaruhi.
"Pendekatan kita mestilah dua hala iaitu melindungi kanak-kanak daripada pihak yang mengeksploitasi mereka, dan pada masa yang sama membina ketahanan diri dalam kalangan kanak-kanak," katanya.
Menurutnya, Malaysia memerlukan pendekatan keseluruhan masyarakat dalam mencegah penyalahgunaan dadah dalam kalangan kanak-kanak.
Katanya, ia termasuk penglibatan ibu bapa yang lebih kukuh, program pencegahan di sekolah, kaunseling dan sokongan kesihatan mental, program rakan sebaya yang positif, pemantauan komuniti serta tindakan lebih tegas terhadap mereka yang membekalkan dadah kepada golongan bawah umur.
"Kanak-kanak berusia 10 hingga 14 tahun sepatutnya memikirkan tentang pendidikan, persahabatan, keluarga dan impian masa depan, bukannya dadah.
"Kita mesti bertindak lebih awal kerana pencegahan pada usia 10 tahun jauh lebih berkesan daripada menunggu sehingga seseorang itu berusia 20 tahun untuk dipulihkan.
"Masa depan anak-anak kita tidak boleh diserahkan kepada nasib. Setiap anak yang berjaya kita selamatkan daripada terjebak dalam penyalahgunaan dadah bermakna kita telah menyelamatkan satu kehidupan, satu keluarga dan satu masa depan," katanya.
tamat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
