PH diramal hilang 6 kerusi di Perak jika PN-BN bergabung

TAIPING - Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) berpotensi merampas sekurang-kurangnya enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak yang kini dikuasai Pakatan Harapan (PH) sekiranya kedua-dua gabungan itu mencapai muafakat politik pada pilihan raya akan datang.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, berdasarkan analisis yang dibuat gabungan PN-BN berpotensi memenangi antara 32 hingga 38 kerusi DUN Perak berbanding PH yang diunjurkan memperoleh antara 21 hingga 27 kerusi.
Menurutnya, enam kerusi yang dikenal pasti mempunyai potensi terbaik untuk berlaku perubahan sokongan daripada PH kepada gabungan PN-BN ialah DUN Tualang Sekah, DUN Hulu Kinta, DUN Tebing Tinggi, DUN Sungai Rapat, DUN Hutan Melintang dan DUN Teja.
"Yang pertama ialah N43 Tualang Sekah yang penyandangnya sekarang ialah PKR (Parti Keadilan Rakyat). Itu yang paling tinggi ranking.
"Yang kedua N24 Hulu Kinta, ketiga N26 Tebing Tinggi yang diwakili DAP, keempat N44 Sungai Rapat (Amanah), kelima N54 Hutan Melintang (PKR) dan keenam N46 Teja yang sekarang ini kerusi PKR," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pas Perak kali ke-23 di Hotel Perdana di sini pada Ahad.
Ahmad Samsuri berkata, selain enam kerusi berkenaan, terdapat beberapa lagi kawasan yang mempunyai potensi untuk dimenangi sekiranya berlaku penyatuan undi PN dan BN.
Katanya, kawasan berkenaan ialah DUN Sungai Manik, DUN Changkat Jong dan DUN Sungkai.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, potensi kemenangan PN di Perak ketika ini dianggarkan sekitar 48 peratus, namun angka itu boleh meningkat kepada kira-kira 75 peratus sekiranya berlaku kerjasama politik dengan BN.
Jelasnya, peningkatan berkenaan antara lain disebabkan penyatuan undi kedua-dua gabungan serta pengurangan pertandingan tiga penjuru kepada pertandingan satu lawan satu.
Bagaimanapun, beliau mengakui kerjasama berkenaan bukan mudah kerana terdapat beberapa cabaran termasuk kemungkinan sebahagian penyokong PN tidak mahu mengundi calon BN dan sebaliknya.
Katanya, dalam menentukan kerusi yang akan ditandingi sekiranya kerjasama PN-BN berlaku, kekuatan setiap parti perlu dinilai secara strategik bagi memastikan sokongan tidak berpecah.
"Mungkin kerusi itu BN akan minta nak bertanding sekiranya berlaku kerjasama. Di sinilah waktunya kita mesti menyenaraikan kekuatan kita, kenapa kerusi itu wajar kita yang bertanding atau mesti kita bertanding berbanding dengan orang lain," katanya.
Sementara itu dalam sidang medianya, Ahmad Samsuri berkata, sebarang rundingan antara PN dan BN memerlukan pendekatan ‘give and take’ dengan kedua-dua pihak perlu duduk berbincang bagi melihat agenda lebih besar yang ingin dicapai.
Menurutnya, pendekatan berkenaan juga perlu mengambil kira keutamaan setiap gabungan dalam usaha memastikan kerajaan yang bakal dibentuk mempunyai kestabilan.
“Selagi kita boleh duduk dan bincang, saya rasa itu adalah satu perkara yang terbaik untuk dicapai.
“Paling penting ialah untuk memastikan kestabilan sesebuah kerajaan yang bakal dibentuk di mana jua dalam negara kita ini, hatta di peringkat nasional pun adalah kerajaan yang paling stabil dan paling mampu untuk menyelesaikan masalah dalam negara,” katanya.
Ahmad Samsuri turut menegaskan dinamika politik bagi setiap negeri adalah berbeza dan sebarang model kerjasama tidak semestinya boleh dilaksanakan secara sama rata di semua negeri.
Katanya, faktor geografi dan keadaan politik setempat perlu diambil kira dalam menentukan bentuk kerjasama serta pembahagian kerusi.
“Pilihan raya dan dinamika politik yang ada sekarang ini sangat unik dan ia bukan saja berdasarkan masa (time-based), tetapi juga berdasarkan geografi (geographical-based).
“Jadi, model negeri-negeri tentulah akan ada perbezaan. Selagi kita tidak duduk dan tentukan, macam-macam boleh berlaku,” katanya.
TAMAT
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

