Pahang rangkul sembilan anugerah Malam Anugerah Industri Pelancongan 2026

KUANTAN - Pahang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama negara apabila berjaya merangkul sembilan anugerah pada Malam Anugerah Industri Pelancongan 2026 anjuran Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA) di Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.
Pada majlis berprestij itu, kerajaan Pahang melalui Tourism Pahang menerima anugerah utama, Kadar Purata Penginapan Tertinggi Terbaik di Malaysia.
Pengurus Besar Tourism Pahang, Nor Zahira Muhammad Azmi berkata, anugerah itu membuktikan prestasi cemerlang sektor pelancongan negeri selain keyakinan berterusan pelancong terhadap pelbagai produk dan destinasi pelancongan ditawarkan.
Menurutnya, lapan lagi anugerah dirangkul pemain industri pelancongan Negeri Pahang, iaitu Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dengan tiga anugerah bagi kategori Inisiatif Pembangunan Pelancongan Terbaik, Destinasi Rekreasi Terbaik dan Program Pelancongan Lestari.
"Pusat beli belah East Coast Mall Kuantan menerima anugerah Pusat Membeli-belah Terbaik manakala LoVita Hotel Kuantan dinobatkan sebagai Hotel Bajet Terbaik.
"Resort World Genting menerima pengiktirafan sebagai Destinasi Peranginan Bersepadu Terbaik, manakala SkyAvenue turut meraih dua anugerah iaitu Destinasi Tanah Tinggi Terbaik dan Destinasi Percutian Keluarga Terbaik," katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Nor Zahira sebelum itu hadir mewakili Kerajaan Negeri Pahang untuk menerima anugerah Kadar Purata Penginapan Tertinggi Terbaik di Malaysia.
Beliau berkata, pencapaian itu hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), pengusaha pelancongan serta semua pemain industri yang sentiasa komited dalam memperkukuh sektor pelancongan negeri.
"Pengiktirafan ini bukan sekadar penghormatan kepada Negeri Pahang malah menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh usaha pembangunan dan promosi pelancongan.
"Tourism Pahang akan terus bekerjasama dengan semua pihak dalam memperkasa produk pelancongan negeri serta meningkatkan daya saing Pahang sebagai destinasi pelancongan pilihan di Malaysia dan di peringkat antarabangsa," katanya.
Jelas beliau lagi, kejayaan merangkul sembilan anugerah itu mencerminkan kecemerlangan ekosistem pelancongan Negeri Pahang merangkumi pembangunan destinasi, penginapan, pusat beli-belah, pelancongan lestari serta produk pelancongan bertaraf dunia.
Ujarnya, pengiktirafan itu turut menjadi pemangkin kepada usaha berterusan Tourism Pahang dalam memperkukuh promosi pelancongan negeri sempena kempen Visit Malaysia 2026 - Pahang First.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

