Keadaan Joe Biden makin lemah, kanser prostat merebak ke tulang

WASHINGTON - Hunter Biden mendedahkan kanser yang dihidapi bapanya, bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, kini semakin merebak dan menyebabkan keadaannya bertambah lemah.
Dalam temu bual bersama BBC yang disiarkan pada Jumaat, Hunter menyifatkan keadaan bapanya sebagai "sangat melemahkan" selain menyebabkan penderitaan yang berpanjangan.
"Ia sangat sukar. Sangat menyedihkan untuk melihat keadaan ini," katanya ketika mengulas kesihatan Joe Biden.
Menurut Hunter, kanser yang dihidapi bapanya kini telah merebak ke tulang dan beberapa bahagian lain badan.
"Saya berharap beliau lebih banyak mengadu mengenai kesakitannya kerana keadaannya bukan baik.
"Kanser itu telah merebak ke tulang dan bahagian lain. Ia sangat menyakitkan dan sangat melemahkan dalam banyak aspek, namun beliau masih meneruskan kehidupan serta aktiviti hariannya," katanya.
Pendedahan itu dibuat beberapa bulan selepas bekas Wanita Pertama AS, Jill Biden, menyatakan suaminya dijangka hidup bersama penyakit kanser itu sepanjang hayat.
Dalam wawancara bersama program Today terbitan NBC News pada Jun lalu, Jill berkata, keadaan Joe Biden masih stabil tetapi mengakui penyebaran kanser ke tulang menjadikan penyakit itu lebih serius.
"Jika beliau hanya didiagnosis dengan kanser prostat, itu satu perkara yang mungkin boleh dirawat. Tetapi apabila ia telah merebak ke tulang, ia menjadi cerita yang berbeza sama sekali.
"Saya fikir Joe akan hidup bersama kanser ini sepanjang hayatnya," kata Jill.
Pada Mei 2025, beberapa bulan selepas menamatkan penggal Presidennya, pejabat Joe Biden memaklumkan, beliau didiagnosis menghidap kanser prostat agresif.
Kemudian pada September tahun sama, keluarga Biden mengumumkan beliau telah menamatkan rawatan radioterapi dan terapi hormon, namun tidak diketahui sama ada beliau memerlukan rawatan susulan.
Tahun lalu, pejabat Joe Biden turut memaklumkan beliau menjalani pembedahan bagi membuang sel kanser kulit.
Dalam temu bual sama, Hunter turut meluahkan penghargaan terhadap bapanya yang disifatkan sebagai tonggak utama keluarga.
"Beliau adalah kekuatan kami. Beliau sentiasa berada di sisi setiap seorang daripada kami dengan cara yang sukar untuk saya ungkapkan dan jelaskan," katanya dengan nada penuh emosi.
Selain menyentuh mengenai kesihatan bapanya, Hunter turut mengulas pengampunan Presiden yang diberikan Joe Biden kepadanya sebelum meninggalkan White House.
Pengampunan itu meliputi sebarang kesalahan yang dilakukan antara 1 Januari 2014 hingga 1 Disember 2024.
Ketika itu, Hunter berdepan tuduhan berkaitan pemilikan senjata api di peringkat persekutuan selain mengaku bersalah atas pertuduhan pengelakan cukai.
Walaupun mengakui tindakan itu tidak semestinya adil, Hunter berkata, beliau tetap bersyukur atas keputusan bapanya.
"Ia sesuatu yang mudah dikritik dan sememangnya ada sebab untuk berbuat demikian.
"Apa yang saya tahu, saya bersyukur kerana beliau melakukannya untuk saya," katanya.
Beliau sebelum ini memberitahu podcast kendalian Gabenor California, Gavin Newsom, bahawa keputusan Joe Biden memberikan pengampunan itu menunjukkan bekas Presiden tersebut "memilih dirinya berbanding legasi politik yang dibina selama ini." - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
