Ibu bunuh anak sendiri demi tuntutan insurans RM640,000

DA NANG – Seorang wanita di Vietnam sanggup membunuh anak lelakinya yang berusia lima tahun selepas merancang untuk mendapatkan wang tuntutan insurans berjumlah lebih 4.1 bilion dong (kira-kira RM640,000)
To Thi Ty Na, 45, dari Thang Binh Commune, didapati bersalah membunuh anaknya, Hoang, sebelum mereka-reka kematian itu supaya kelihatan seperti kemalangan lemas.
Menurut pertuduhan, Na sebelum ini pernah disabitkan kesalahan mencuri.
Selepas suaminya meninggal dunia pada 2020, Na dikatakan tidak mempunyai pekerjaan atau sumber pendapatan tetap.
Pasangan itu mempunyai empat anak.
Na kemudian menjual rumah mereka pada harga 1.2 bilion dong (RM187,305).
Selepas wang tersebut habis, dia didakwa merancang untuk membeli polisi insurans hayat bagi anak-anaknya dengan tujuan mendapatkan wang pampasan.
Pendakwa raya berkata, Na membeli tujuh polisi insurans untuk anak-anaknya dan membayar premium tahunan melebihi 100 juta dong (RM15,608).
Dia turut menamakan dirinya sebagai penerima manfaat bagi semua polisi berkenaan.
Anaknya Hoang dilindungi dua polisi yang masing-masing dikeluarkan Generali Life Insurance dan FWD Life Insurance.
Pada malam 2 Januari 2023, Na dipercayai mengalihkan kamera keselamatan di rumah sebelum meminta Hoang masuk ke bilik air.
Di situ, dia membunuh anaknya sebelum mengatur keadaan supaya kematian tersebut kelihatan seperti kemalangan akibat lemas dalam baldi berisi air.
Na kemudian membuat tuntutan insurans dengan mendakwa anaknya meninggal dunia akibat kemalangan.
Hasilnya, dia menerima lebih 4.1 bilion dong daripada kedua-dua syarikat insurans terbabit.
Bagaimanapun, siasatan polis mula membongkar perancangannya selepas ahli keluarga mangsa menyedari kamera keselamatan di rumah telah dialihkan dan membuat laporan.
Siasatan mendapati Na adalah satu-satunya individu bersama mangsa ketika kejadian berlaku.

Rumah berkenaan juga hanya mempunyai satu pintu masuk.
Pemeriksaan terhadap mangsa mendapati Hoang mempunyai ketinggian 124 sentimeter, sedangkan baldi yang didakwa menjadi punca kematiannya hanya setinggi 63 sentimeter.
Polis turut menemui kecederaan pada tubuh mangsa yang konsisten dengan penggunaan kekerasan dari luar.
Ketika perbicaraan, Na menafikan membunuh anaknya demi mendapatkan wang insurans.
Sebaliknya, dia mendakwa membeli polisi tersebut untuk 'melindungi kesihatan' anaknya.
Na turut mendakwa tidak mengingati beberapa perkara penting berkaitan kejadian itu dan mendakwa kecederaan pada tubuh anaknya berlaku ketika berada di sekolah.
Bagaimanapun, Mahkamah Rakyat Da Nang baru-baru ini, mendapati bukti yang dikemukakan pihak penyiasat mencukupi untuk mensabitkannya atas kesalahan membunuh dan penipuan insurans.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Na atas kesalahan membunuh serta enam tahun penjara kerana penipuan insurans.
Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.
Na turut diperintahkan membayar balik keseluruhan wang yang diterimanya kepada kedua-dua syarikat insurans berkenaan. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

