AKPS sita kontena disyaki hantar barang eksport ke Israel

JOHOR BAHRU - Sebuah kontena yang disyaki membawa barangan dagangan untuk dieksport ke Israel disita di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah pada Jumaat.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menerusi kenyataan berkata, penghantaran tersebut disyaki tidak mematuhi Item Nombor 15, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023 yang memperuntukkan larangan pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel, selaras dengan dasar dan ketetapan Kerajaan Malaysia.
“AKPS akan menjalankan siasatan lanjut bersama pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi mengesahkan sifat, spesifikasi, kegunaan serta klasifikasi barangan berkenaan.
“Ia termasuk menentukan sama ada barangan tersebut merupakan barangan strategik yang tertakluk kepada kawalan di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 [Akta 708] dan perundangan subsidiari yang berkaitan,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan pada Sabtu.
Menurut kenyataan itu, Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang melanggar dasar, sekatan dan perundangan negara berkaitan Israel.
Tambah kenyataan itu, sebarang percubaan untuk mengeksport barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel yang bertentangan dengan undang-undang dan ketetapan kerajaan akan diambil tindakan tegas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
