Empat dekad menjinak ikan

Faizal bersama 'dogtooth tuna' dengan anggaran berat 50 hingga 60 kilogram yang ditangkap di perairan Aceh, Indonesia.
Faizal bersama 'dogtooth tuna' dengan anggaran berat 50 hingga 60 kilogram yang ditangkap di perairan Aceh, Indonesia.
A
A
A

SHAH ALAM - Hobi memancing yang bermula dengan sekadar mengikuti jejak langkah bapanya ke sungai dan lombong ketika zaman persekolahan akhirnya bertukar menjadi satu gaya hidup.

Selepas lebih 40 tahun, Faizal Nizam masih setia merentap ikan di hujung tali pancing, membuktikan bahawa sesebuah minat yang lahir daripada rasa cinta mampu kekal merentas usia dan zaman.

Bagi Faizal, 51, aktiviti memancing tidak pernah membosankan kerana ia mengajarnya erti kesabaran dan ketekunan di samping menghargai keindahan alam.

Spesis peacock bass yang lazimnya menjadi kegemaran pemancing tegar.
Spesis peacock bass yang lazimnya menjadi kegemaran pemancing tegar.

Anak kelahiran Kuala Kubu Bharu itu berkata, dia meluangkan masa sekurang-kurangnya satu hingga tiga hari dalam seminggu untuk melepaskan gian memancing bersama rakan-rakan tidak kira di sungai, tasik mahupun laut.

Menurut Faizal, menjinak ikan air tawar dan air masin memberi kepuasan maksimum buat dirinya meskipun kadangkala perlu menghabiskan masa separuh hari atau sehari untuk mendapatkan hasil tangkapan.

“Hobi ini memang sejak sekolah rendah sekitar lewat 80-an kerana saya selalu ikut ayah memancing dan dia memang seorang pemancing tegar, saya fikir kebanyakan pemancing pun begitu.

“Secara peribadi, saya lebih sukakan trip memancing balik hari tak kisahlah naik bot ataupun menebing di tepi lombong dan sungai. Kalau ramai kawan, kami pergi trip tahunan selama tiga hari dua malam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Faizal yang bekerja sebagai chargeman atau penjaga jentera elektrik turut berkongsi beberapa spot memancing kegemarannya.

Antara yang paling memberi pengalaman dan kenangan manis ialah Taman Negeri Royal Belum memandangkan lokasi itu sentiasa ‘menghadiahkannya’ hidupan air tawar unik dan jarang dapat dipikat pemancing misalnya kerandang, kelah dan banyak lagi.

Ikan buntal kebiasaannya 'catch and release' jika termakan umpan pemancing.
Ikan buntal kebiasaannya 'catch and release' jika termakan umpan pemancing.

“Setiap tahun saya wajib ke Royal Belum untuk casting sebarau, toman, haruan dan lain-lain. Kalau teknik pancing ‘jigging’ guna umpan besi pula, saya lebih suka ke Aceh, Indonesia kerana ia memberikan satu pengalaman yang amat berbeza.

“Teknik dan peralatan sama sahaja, cuma mungkin suasana atau spesies ikan yang berbeza-beza membuatkan pemancing seronok bertukar-tukar port memancing.

“Macam di Malaysia, susah nak dapat ikan yang saya pancing di perairan laut Aceh iaitu ruby snapper dan paling menarik adalah dogtooth tuna dengan anggaran berat 50 hingga 60 kilogram. Itulah rekod tangkapan peribadi paling bermakna sepanjang hidup saya,” katanya teruja.

Faizal memaklumkan, kebiasaannya semasa casting ada tangkapan yang tidak sesuai dibawa pulang disebabkan saiz terlalu besar atau kurang sesuai dimakan akan dilepaskan semula ke habitatnya.

Itu sudah menjadi norma dan etika dalam kalangan pemancing kerana tidak mahu spesies yang rare atau sukar ditemui diancam kepupusan.

Taman Negeri Royal Belum sentiasa menjadi port memancing kegemarannya kerana habitat ikan yang pelbagai misalnya toman, sebarau dan baung.
Taman Negeri Royal Belum sentiasa menjadi port memancing kegemarannya kerana habitat ikan yang pelbagai misalnya toman, sebarau dan baung.

Baginya, prinsip menjaga kelestarian alam dan habitat hidupan perlu dikekalkan, bukannya mementingkan kepuasan diri semata-mata.

“Kalau ikan terlalu besar mencapai saiz induk kira-kira tiga kilogram dan ke atas, pemancing akan catch and release sahaja. Sekurang-kurangnya induk ikan boleh menghasilkan lebih banyak benih untuk tangkapan masa hadapan. Jadi, saya bawa balik ikan bersaiz hidangan sahaja.

“Pernah saja ada hari di mana pemancing ‘kumpau’ tak dapat sebarang tangkapan ikan langsung dalam satu hari, tetapi jaranglah kerana masing-masing dah tahu mood ikan dan pandai baca suasana serta tekanan udara sekitar lokasi memancing.

“Selalunya tips yang saya guna untuk memancing ikan seawal pagi atau lewat petang. Tetapi, semuanya bergantung kepada rezeki ALLAH SWT,“ jelasnya lagi.

Bagaimanapun, Faizal berpendapat bahawa minat dan obses terhadap aktiviti memancing tidak akan melebihi komitmen mahupun tanggungjawab kepada keluarga serta kerjaya hakiki.

“Macam saya bekerja dari Isnin hingga Jumaat, hujung minggu (Sabtu) pergi memancing dan Ahad pula luangkan masa bersama keluarga.

“Bagi saya semuanya kena seimbang. Kerjaya, minat, keluarga dan hubungan dengan Sang Pencipta. Empat prinsip ini memang wajib dijaga walau sebesar mana pun minat kita terhadap kegiatan memancing,” ujar Faizal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!